SELAMA puluhan tahun lamanya, rambut hitam, lurus dan panjang mengurai menduduki tempat teratas senarai rambut idaman wanita.
Rambut adalah segalanya kerana ia bukan sekadar perhiasan diri. Ia mempamerkan personaliti lantas kita begitu sayangkan rambut. Ini terbukti dengan jumlah wang dan masa yang dihabiskan untuk menjaga, membelai, mewarna dan mendandan rambut.
Dalam usaha mencari yang terbaik untuk rambut, ada kalanya kita terpengaruh dengan cerita yang agak pelik. Berikut tujuh mitos mengenai rambut yang paling biasa didengari dan mungkin dipercayai selama ini:
1. Sikat rambut 100 kali sehari mempercepatkan pertumbuhan rambut dan menjadikannya licin.
Pendandan rambut yang juga pengasas Hairkunst Salon, Bambang Soteto, berkata, bertahun lamanya dalam industri dandanan rambut, ramai pelanggan bertanyakan pelbagai mitos mengenai rambut.
"Sesetengahnya benar-benar tidak masuk akal dan hanya amalan tradisional, walaupun ada yang benar-benar berkesan ke atas rambut.
"Satu daripada mitos yang paling dipercayai ialah menyikat rambut 100 kali sehari boleh mempercepatkan pertumbuhan rambut dan menjadikannya licin," kata pendandan yang menjalankan perniagaannya di The Curve, Petaling Jaya ini.
Anda mungkin pernah melihat orang menyikat rambut mereka dengan khusyuk sambil berjalan. Mungkin anda terfikir, bagaimana mereka mengira sikatan rambut sambil berjalan? Menyikat 10 kali pada waktu pagi, 10 kali lagi sebelum makan tengah hari dan mungkin 30 kali selepas itu? Ini pun belum cukup.
Hakikatnya, amalan ini diwarisi sejak turun-temurun, dari nenek moyang kita yang hanya membasuh rambut sebulan sekali atau mungkin kurang.
Justeru, pada zaman itu, matlamat menyikat rambut 100 kali adalah untuk membantu minyak semula jadi daripada kulit kepala (sebum) mengalir hingga ke hujung rambut dan mencegah liang rambut pada kulit kepala daripada tersumbat atau menjadi kering.
Adakah ini masih relevan kepada rambut pada zaman moden ini?
Menurut pemilik blog, Lee See Pin, dia menyikat rambutnya dengan tekun banyak kali dalam sehari supaya rambutnya menjadi lebih licin dan mudah diurus.
"Saya mengikuti amalan ini sejak menuntut di sekolah tinggi kerana ramai kawan saya mengamalkan cara ini untuk mengawal rambut mereka yang tebal dan keriting halus supaya tidak meremang," katanya.
2. Bila rambut terasa kasar, bermakna ia rosak
Bagi mereka yang pernah mengeriting, mewarna atau membuat rawatan meluruskan rambut, memang risau rambut menjadi rosak.
Lazimnya, bila rasa rambut menjadi kasar, ramai yang membuat kesimpulan rambut mungkin rosak.
Pengarang Life & Style MSN Malaysia, Reta Lee, turut mengakuinya.
"Rambut saya terasa kasar bila saya mengusapnya dengan jari, rasa macam rosak. Saya belum jumpa sebarang cara yang betul untuk menentukan sama ada rambut seseorang itu rosak atau tidak," katanya.
Menurut Bambang, ramai wanita seperti Reta mengukur kesihatan atau kerosakan rambut mereka daripada tekstur rambut.
"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana manusia dilahirkan dengan berlainan jenis tekstur rambut. Kita tidak boleh membuat kesimpulan rambut kita rosak semata-mata berasaskan tekstur rambut," katanya.
3. Rambut lurus boleh bertukar sendiri menjadi ikal
Kita dianugerahkan dengan rambut berlainan jenis sama ada keriting, lurus, tebal atau nipis. Jika rambut lurus, tentunya kita masih boleh memiliki rambut idaman seperti Jessica Simpson atau Sarah Jessica Parker dengan membuat rawatan mewah untuk mengeritingkan rambut.
Tetapi adakah rambut lurus boleh bertukar menjadi keriting dengan sendirinya?
"Saya pernah bertemu dengan pelanggan yang merungut kerana rambut mereka yang lurus menjadi berketak.
"Dalam kebanyakan kes, ia bukan disebabkan rambut kerap diikat, digulung atau disepit, kerana ketak ini kekal berbulan-bulan lamanya. Tiada sebab yang boleh menjelaskan perubahan yang tidak diduga ini.
"Ada yang berpendapat puncanya ialah perubahan hormon manakala yang lain percaya bahawa ia disebabkan penyahhidratan badan. Seperti pokok, bila berlaku penyahhidratan, ia menjadi kering dan kerepot," kata Bambang.
4. Kulit kepala lebih bersih dan rambut bersinar bila dibasuh dengan air suam
Ramai yang menyangka hajat memiliki rambut cantik dan bersinar boleh tercapai dengan membasuh rambut dengan air suam kerana ia membersihkan kulit kepala serta menjadikan rambut bersinar.
Tanggapan ini berasaskan pendapat bahawa air suam merangsang peredaran darah justeru menjadikan rambut bersinar. Sejauh manakah kebenarannya?
5. Mengurut kulit kepala dengan kuku baik untuk rambut
Bagaimana anda mensyampu rambut? Hanya letak syampu dan bilas atau menggosok kulit kepala dengan hujung jari?
Mungkin amalan mengurut lebih kerap dilakukan semasa mandi kerana kita percaya mengurut kulit kepala dengan kuku membuatkan kita benar-benar dapat membersih dan menanggalkan semua kotoran.
6. Mewarna rambut menyebabkan rambut cepat beruban
Kepercayaan kuno uban mencerminkan kebijaksanaan dan kematangan tidak lagi boleh diterima pakai. Kini, mereka yang berumur 20 tahun juga boleh beruban.
Mewarna rambut sudah menjadi norma dan kegilaan dalam dunia fesyen zaman sekarang. Ada yang mewarnakan rambut untuk mengubah atau menyerlahkan penampilan, manakala tidak kurang pula yang melakukannya untuk menutup uban.
Ramai berpendapat bahan kimia yang digunakan dalam pewarna rambut menyebabkan rambut cepat beruban. Mereka mendakwa bahan kimia ini menukar pigmen semula jadi rambut, menyebabkan rambut cepat beruban.
Jika ini benar, adakah kuku akan bertukar warna disebabkan rawatan kuku setiap minggu?
7. Mengeringkan rambut dengan pengering rambut akan mengurangkan keriting halus
Mitos ini sering menghantui mereka yang mempunyai rambut ikal, bergulung atau keriting. Mungkin anda paling takut rambut jadi meremang dan tidak terkawal.
Kebanyakan orang mengeringkan rambut dengan pengering rambut untuk mengurangkan atau mengelakkan rambut keriting daripada meremang. Anda mungkin dapat mengawal dan membuat rambut anda tampak kemas tetapi apakah kesannya kepada kesihatan dan keadaan rambut semula jadi?
Ikuti rencana minggu hadapan yang menghuraikan realiti di sebalik setiap kepercayaan mitos berkenaan di samping petua penjagaan rambut daripada pakar rambut terkenal dunia yang sekian lama menjaga, mendandan dan mencipta gaya rambut ramai selebriti seperti Jennifer Aniston, Sarah Jessica Parker dan Angelina Jolie.