KUCHING: Dengan berpegang kepada pepatah Melayu ‘sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit’, seorang warga emas, Mail Brahim, 77, yang menyimpan 30 sen sebulan bermula 1950, akhirnya mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan fardu haji, tahun ini.
“Alhamdulillah berkat niat baik, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Apabila gaji bertambah, jumlah wang yang saya simpan juga saya tambah.
“Akhirnya saya dapat menggunakan wang itu untuk ke Tanah Suci tahun ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian sewaktu menghadiri Kursus Perdana Haji 1432H di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, semalam.
Mail adalah antara 421 bakal jemaah haji dari Bahagian Kuching dan Samarahan yang menghadiri kursus dua hari itu, yang berakhir semalam.
Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau mendaftar untuk menunaikan fardu haji pada 2005 selepas jumlah dikumpul mencukupi dan bersyukur kerana disenaraikan ke Tanah Suci pada tahun ini.