31 Mac 2015
Aplikasi MyKira banding harga sebelum, selepas GST
HASAN MALEK (duduk) melancarkan Pusat Gerakan Antipencatutan dan Aplikasi MyKira GST di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.
PUTRAJAYA 30 Mac – Orang ramai yang mahu membuat perbandingan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihaknya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk membandingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April ini.
Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.
“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.
“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan PGAP dan aplikasi MyKira GST di sini hari ini.
Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu ini.
Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.
Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.
Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.
“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.
KFC perkenal sarapan pagi baharu
Menu baharu untuk sarapan pagi termasuk set hidangan Classic Rice yang dilengkapi nasi Colonel dengan ayam goreng Original Recipe, telur mata kerbau serta sambal pedas yang lazat.
KUALA LUMPUR 30 Mac – KFC Malaysia kini menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan bagi memulakan pagi mereka dengan penambahan hidangan baharu yang lazat dalam menu sarapan KFC.
Naib Presiden Kanan, KFC Malaysia, Ling Mee Jiuan berkata, antara menu baharu untuk sarapan pagi termasuk set hidangan Classic Rice yang dilengkapi nasi Colonel dengan ayam goreng Original Recipe, telur mata kerbau serta sambal pedas yang lazat.
Ujarnya, set Classic Rice juga boleh didapati dengan pilihan hidangan dua ketul ayam bagi mereka yang berselera besar.
Tambahnya, bagi pelanggan yang menggemari sarapan ringkas dan pantas mereka boleh memilih pelbagai hidangan ‘Grab N Go’ seperti Egg Riser, Zinger Riser, dan Twister Lite, tidak ketinggalan juga hidangan sarapan yang paling popular di KFC iaitu Bubur Zinger.
“Di KFC, kami ingin memudahkan pelanggan dalam menikmati hidangan sarapan yang lengkap dengan rasa yang sungguh lazat, berbaloi serta memberi lebih nilai untuk wang anda,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Set Classic Rice kata beliau, diilhamkan daripada citarasa rakyat Malaysia yang gemarkan pedas dalam sarapan mereka. Seperti juga hidangan tengah hari dan makan malam, rakyat Malaysia turut menginginkan rasa pedas dalam sarapan pagi seperti yang mereka nikmati dalam hidangan Nasi Lemak, Roti Canai dan juga Dim Sum ala Kantonis.
Mee Jiuan menambah, produk sarapan ‘Grab N Go’ pula disasarkan kepada golongan muda yang bekerja di pejabat yang inginkan sarapan yang ringkas dan cepat.
“Hidangan-hidangan sarapan KFC boleh didapati pada harga serendah RM4 dan pelanggan boleh menikmati minuman kopi secara percuma dengan setiap pembelian hidangan pada hari biasa,” katanya.
Ibnu Wafid penyelidik ubat bius
Ibnu al-Wafid
Ibnu Al-Wafid atau Abu Al-Mutarrif Abdur Rahman bin Muhammad Al-Lakhmi Ibnu Al-Wafid lebih dikenali di Barat sebagai Abenguefit.
Tidak banyak diketahui tentang riwayat hidupnya.
Menurut Sa’id Andalusi, Ibnu Wafid lahir pada tahun 398 H/1007 M. Ibnu Wafid ialah seorang Muslim Andalus yang terkenal sebagai ahli farmakologi, perubatan dan teori pertanian.
Setelah belajar ilmu perubatan daripada Abu Qasim az-Zahrawi di Kordova, beliau menetap di Toledo pada 460 H/1067 M. Karya fenomenanya berjudul Kitab Jami’ al-Thib, kemudian diterjemah ke dalam bahasa Latin dengan judul De Medicinis Universalibus et Particularibus.
Walaupun beliau ahli farmasi, Ibnu Wafid lebih suka merawat sesuatu penyakit dengan diet yang tepat. Jika terpaksa, beliau menggunakan campuran ubatan sederhana.
Ibnu Wafid memperkenalkan penggunaan ukuran diet untuk penyembuhan suatu penyakit dan penyelidikan mengenai “kelakuan” ubat bius dalam tubuh manusia.
Hanya beberapa karya Ibnu Wafid yang masih ada:
1. Kitab fi al-Aswiya al-Mutrada telah diterjemah dan diringkaskan ke dalam bahasa Latin oleh Gerard dari Cremona, dengan judul Liber Albenguefith Phlosophi de Virtutibus Madicinarum et Ciborum.
Buku tersebut telah diterjemahkan ke bahasa Hebrew dan Catala. Teks asalnya dalam bahasa Arab.
2. Kitab al-Wisad fi ath-Thibb
3. Majmu’fi al-Filaha”. Teksnya dalam bahasa Arab dan Castilia pernah dibahas oleh Gracia Gomez dan Millas.
4. De Balneis Semo. Judul ini disebut oleh Mieli. Namun tidak jelas hubungannya dengan karya yang pernah ditulis sebelumnya.
Langgan:
Catatan (Atom)