19 Jun 2012

Drogba ditawar gaji RM988,550 seminggu

BEIJING - Shanghai Shenhua menawarkan Didier Drogba kontrak lumayan bernilai 200,000 pound (RM988,550) seminggu, gaji yang memastikan dia akan menjadi pemain termahal dibayar di China.

Pengumuman mengatakan Drogba yang sudah meninggalkan Chelsea untuk menyertai kelab Liga Super China itu akan dibuat pada bila-bila masa.

Menurut laporan Oriental Morning Post, kedua-dua pasukan telah bersetuju secara prinsip untuk kontrak dua tahun setengah.

Gaji yang dicadangkan itu dijangka melebihi gaji yang diterima oleh bekas rakan sepasukan Chelsea, Nicolas Anelka yang menerima 160,000 pound (RM795,000) seminggu.

Shenhua enggan menyatakan sebarang komen dan laporan rasmi mengatakan Drogba akan mengumumkan perkara itu sendiri jika dia membuat keputusan untuk menyertai Shenhua.

Bintang Ivory Coast sebelum ini mengatakan yang dia akan menyatakan hala tujunya selepas ini tetapi enggan mengulas sama ada akan menyertai Shenhua.

''Langkah seterusnya cukup menarik,'' kata pemain yang berusia 34 tahun itu selepas melawat New Delhi.

Perjanjian itu turut menambah Drogba akan menjadi jurucakap kepada syarikat permainan online China, satu perjanjian yang sama kepada penyerang Perancis, Anelka, yang menyertai Shenhua, Januari lalu. Anelka dibayar AS$3.4 juta (RM10.74 juta) oleh pemilik permainan online, Zhu Jun yang juga ketua pelabur di Shenhua.

Shenhua, yang kini di tangga ke-12 daripada 16 pasukan dalam saingan liga, bergelut dengan masalah prestasi walaupun mendapat khidmat Anelka, malah telah memecat ketua jurulatih, Jean Tigana untuk digantikan oleh bekas pengurus Argentina, Sergio Batista. - AFP

DUIT