|
Kebanyakan rakyat di negara ini sejak dahulu lagi, lebih memberikan penekanan kepada kecantikan dan kesihatan luaran berbanding dalaman.
Sebenarnya tanpa kita sedari, untuk kelihatan cantik dan sihat, ia perlu bermula daripada dalam yang seterusnya akan membentuk kecantikan luaran.
Pakar konsultan produk kecantikan dan kesihatan RF3 World, Dr. Zannat Begam Sawal Hamid, 33, berkata, tidak kira lelaki mahupun wanita, masing-masing sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli set penjagaan kulit, namun tidak ramai yang terfikir untuk membuang toksin dalam badan.
Jelasnya, toksin merupakan bakteria yang terkumpul di dalam organ badan manusia seperti otak, jantung, hati, pituitari, pankreas dan organ pembiakan.
“Kesan pengumpulan toksin ini tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek kerana ia memerlukan masa untuk membiak dan bertukar menjadi penyakit. Justeru, kebanyakan masyarakat jarang memandang serius hal ini.
“Walhal pencegahan daripada peringkat awal perlu dilakukan sebelum toksin bertukar menjadi bakteria jahat lalu menyerang bakteria-bakteria baik sehingga membuatkan sistem imun badan menjadi lemah,” katanya yang pernah bertugas di Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Kementerian Kesihatan selama tiga tahun.
Tambahnya, toksin lazimnya terkumpul di dalam badan seseorang disebabkan beberapa faktor seperti sisa makanan tidak dicerna sepenuhnya, merokok, terdedah kepada pencemaran udara dan mengamalkan cara pemakanan tidak sihat.
“Cara pemakanan yang tidak sihat di sini merujuk kepada mereka yang gemarkan makanan segera, kerap makan makanan yang dipanaskan melalui ketuhar dan jarang menjamah buah-buahan serta ulam-ulaman.
Kosmetik
“Selain itu, bagi mereka yang kurang melakukan senaman dan sering menggunakan alat kosmetik yang mengandungi bahan plumbum dan logam turut menyumbang kepada pengumpulan toksin ini,” ujarnya yang merupakan pemegang Ijazah Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Katanya, penggunaan alat kosmetik sering diambil remeh oleh wanita.
Mereka jarang meneliti kandungan di dalam alat solek yang digunakan.
“Sebenarnya, alat solek atau set penjagaan badan yang memberi kesan perubahan terlalu cepat adalah tidak elok digunakan kerana ia mempunyai kandungan bahan yang amat kuat sehingga mampu melunturkan warna kulit dengan pantas.
“Oleh itu, saya menyarankan agar masyarakat menggunakan produk-produk semula jadi atau mengenal pasti dengan membawa alat penjagaan yang digunakan kepada pihak kementerian untuk mengetahui sejauh mana kesan penggunaan bahan tersebut kepada tubuh,” jelasnya yang pernah bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Selayang, Selangor.
Sementara itu, apabila ditanya apakah penyakit yang boleh dialami oleh seseorang yang mempunyai toksin dalam badan, Zannat memberitahu, kanser dan masalah hormon seperti migrain, sakit sendi, kencing manis, ketidaksuburan, obesiti dan tiroid adalah penyakit yang popular dialami oleh masyarakat.
Menurutnya, antara simptom awal seseorang itu mempunyai toksin berlebihan dalam badan bila mereka berasa mengantuk berpanjangan, sistem imuniti rendah, kulit berjerawat dan bahagian keliling mata gelap.
Selain itu, badan terasa banyak angin, alahan, berat badan meningkat, kehadiran selulit, hormon tidak stabil dan kulit tidak sekata antara simpton yang turut dikenal pasti disebabkan toksin berlebihan.
Brokoli
Bagi mengatasi masalah ini, Zannat memberitahu, mereka yang dapat mengesan masalah tersebut daripada awal perlu memperbanyakkan makan makanan beralkali seperti timun, jagung, brokoli dan jus delima.
“Perkara paling mudah bukan sahaja perlu dilakukan oleh mereka yang mempunyai toksin tetapi oleh semua golongan masyarakat adalah minum air mineral dengan banyak kerana ia dapat meneutralkan badan yang berasid.
“Jika keadaan masih tidak reda dan penyakit terus berulang, anda dinasihatkan agar pergi mendapatkan rawatan doktor dengan segera,” ujarnya lagi.
Jelasnya, jika ia tidak dirawat, dikhuatiri penyakit akan menjadi bertambah buruk sehingga boleh mewujudkan profil asid deoksiribonukleik baharu yang akan memberi kesan kepada anak yang bakal dilahirkan.