22 Disember 2011

Bank Negara perkenal mata wang baharu


KAKITANGAN BNM, Nor Aimah Mohd. Nor menunjukkan siri mata wang baharu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan siri mata wang baharu dengan rekaan wang kertas dan syiling yang menerapkan keunikan Malaysia daripada segi warisan, budaya dan khazanah alam di samping peningkatan ciri-ciri keselamatan berteknologi terkini.

Edaran wang kertas denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 akan disediakan pada separuh kedua 2012 manakala denominasi RM50 baharu sudah berada di pasaran.

Wang syiling denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang dilancarkan pada 25 Julai lalu akan diedarkan Januari depan.

"Bagi siri baharu ini, substrat polimer digunakan untuk pembuatan wang kertas denominasi RM1 dan RM5 manakala selebihnya menggunakan kertas.

"Siri wang kertas baharu ini menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang seiring dengan teknologi terkini termasuk imej bayang-bayang, tetingkap jernih, potret tera air berpiksel dengan nombor yang jelas, benang keselamatan yang berubah warna dan benang kanta mikro," menurut BNM dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu menyebut, ciri-ciri lain adalah permukaan wang membolehkan individu yang bermasalah penglihatan mengenal pasti dan membezakan denominasi.

Tanduk badak sumbu dipotong diganti dengan kayu


AFP RUPA kepala seekor badak sumbu yang diawet selepas tanduk haiwan itu dipotong di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland.

GENEVA - Pihak pengurusan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland mengambil langkah drastik apabila bertindak menggantikan tanduk enam ekor badak sumbu yang diawet dengan kayu bagi mengelak ia dicuri.

Langkah itu dibuat selepas beberapa kurator muzium itu mendengar tanduk badak sumbu dicuri di beberapa muzium di seluruh Eropah termasuk di Britain, Perancis dan Jerman.

Tanduk badak sumbu amat berharga di Asia kerana kebanyakan penduduk menganggap ia boleh digunakan untuk melawan penyakit dan menguatkan tenaga batin.

Menurut pihak muzium itu, sejak beberapa bulan lalu, tanduk itu berharga di antara 20,000 franc (RM68,177) dan 250,000 franc (RM852,261).

"Di pasaran gelap, tanduk badak sumbu lebih bernilai daripada emas," kata muzium tersebut dalam satu kenyataan. - AFP

Beckham masih tiada tandingan


BILA berada di luar padang, Beckham lebih banyak menghabiskan masa dengan anak-anaknya.

KARIER bekas bintang bola sepak England, David Beckham masih belum menunjukkan tanda-tanda suram.

Meskipun telah berusia 36 tahun, bekas kapten skuad The Three Lions itu masih lagi laku di pasaran.

Setelah bermain dengan tiga kelab terkemuka dunia iaitu Manchester United, Real Madrid dan AC Milan, perancang yang kini bersama Los Angeles Galaxy itu masih mampu menarik minat banyak kelab elit Eropah.

Terbaru, suami kepada anggota kumpulan pop Spice Girls, Victoria itu kini dikaitkan dengan kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, pihak pengurusan Beckham, XIX Entertainment dengan pantas menepis spekulasi tersebut meskipun kontraknya dengan LA Galaxy berakhir 31 disember ini.

“Tiada perjanjian dicapai dengan mana-mana kelab setakat ini. Semua cerita mengenai perjanjian tersebut hanyalah spekulasi sahaja.

“David masih lagi belum membuat keputusan mengenai masa depannya,” kata XIX Entertainment.

Biarpun berita itu hanya spekulasi, namun jelas sekali ia membuktikan bahawa populariti pemain kesayangan England itu masih utuh dan laku di pasaran.

Media melaporkan PSG sanggup menawarkan gaji 800,000 euro (RM3.32 juta) sebulan untuk membawa imej dan populariti Beckham ke ibu negara Perancis itu.

PSG yang dimiliki oleh Qatar Sport Investments, mahu menggunakan Beckham sebagai daya penarik kepada peminat bola sepak terhadap Liga Perancis, khususnya berkaitan dengan pemasaran dan penjenamaan kelab tersebut.

Selain menjadi bintang bola sepak terkemuka, Beckham yang mempunyai raut wajah yang kacak turut menjadi ikon metroseksual, model dan jurucakap kepada produk-produk terkenal dalam dunia fesyen, minyak wangi, kosmetik dan penjagaan kesihatan.

Status selebriti yang dikecapi Beckham di luar padang ini bagaimanapun tidak menjejaskan fokus utamanya di atas padang.

Buktinya, Beckham pernah menduduki tempat kedua dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali dan menjadi pemain menerima gaji paling mahal di dunia pada 2004 ketika bersama Real Madrid.

Pada 2007, Beckham menyertai saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat dan sekali lagi menerima bayaran tertinggi dalam kontraknya bersama LA Galaxy selama tiga tahun.

DUIT