DAVE HOCKEY bersama salah satu daripada enam patung wanita silikon yang dibelinya untuk dijadikan hobi.
OTTAWA, Kanada - Seorang lelaki berusia 57 tahun, Dave Hockey membelanjakan wang sebanyak AS$25,600 (RM78,246) untuk mengembara ke seluruh dunia dengan enam patung wanita silikon, lapor sebuah akhbar semalam. Dia membawa patung silikon itu ke beberapa lokasi menarik di Stonehenge, Britain, Grand Canyon dan Niagara Falls di Amerika Syarikat (AS).
Bapa dua anak itu berkata: "Isteri saya memahami ia (patung-patung itu) merupakan satu hobi."
Hockey juga kini menghasilkan filem dokumentari pengembaraannya selama tujuh minggu dari rumahnya di Nova Scotia, Kanada ke San Diego, AS untuk berjumpa dengan pemilik patung lain.
Semasa pengembaraan itu, dia juga membawa patung silikon yang cantik Bianca yang dibeli dengan harga AS$ 3,246 (RM9,921) yang pernah muncul dalam filem Lars and the Real Doll. Patung itu turut dibawa untuk aktiviti terjun udara, menaiki kuda dan menjadi pembonceng motosikal Harley Davidson.
"Saya membeli patung pertama pada November 2006 kerana ia kelihatan menarik dan cantik. Lelaki yang menyatakan patung tidak cantik sebenarnya pembohong," katanya.
Dia sanggup berkelakuan sopan di depan patung wanitanya dengan mengungkapkan kata-kata meminta berjalan di depan patungnya selain membeli kasut dan aksesori lain untuk mencantikkan patung tersebut.
Beberapa patung itu seberat lebih 40.91 kilogram dan dia memerlukan sebuah kerusi roda untuk membawanya memasuki hotel dan di kawasan tarikan pelancongan.
Hockey kini dalam proses terakhir untuk menyunting dokumentari yang dihasilkannya itu tetapi dia berharap akan dapat menyiapkannya dalam masa enam minggu lagi. - Agensi