LONDON - Edisi terakhir tabloid nombor satu Britain, News of the World kelmarin dijual di laman lelongan ebay pada harga mencecah AS$47 (RM141) senaskhah, lapor sebuah akhbar semalam.
Edisi terakhir News of the World itu menjadi rebutan di laman web berkenaan selepas akhbar itu habis dijual dalam tempoh cuma beberapa jam berada di pasaran.
Lebih empat juta naskhah akhbar itu habis dijual kelmarin, sekali gus menjadikannya jualan akhbar paling laris di Britain dalam tempoh satu dekad.
Akhbar berkenaan yang dimiliki oleh taikun media Amerika Syarikat (AS), Rupert Murdoch ditutup bermula semalam kerana dikaitkan dengan skandal pengintipan perbualan telefon melibatkan lebih 4,000 mangsa.
"Orang ramai berebut untuk membeli edisi terakhir News of The World sebaik sahaja kedai dibuka," kata seorang peniaga tempatan yang memberitahu akhbar tersebut habis dijual seawal pukul 8 pagi.
Akhbar yang ditutup oleh pemiliknya, News International itu mengetengahkan tajuk: Thank You & Goodbye.- Agensi