|
Menurut beberapa laporan dari media United Kingdom, Newcastle telah menerima bidaan berjumlah melebihi 35 juta pound (RM 171.3 juta) dari Liverpool dan Carroll akan menjalani ujian perubatan dengan kelab Merseyside itu.
Jumlah perpindahan itu merupakan antara yang tertinggi antara dua kelab di England iaitu selepas Manchester United membayar Leeds sebanyak 29.1 juta pound (RM 142.7 juta) bagi mendapatkan Rio Ferdinand.
Dengan kemasukan Carroll ke Liverpool, ia sudah pasti memudahkan laluan Torres ke Chelsea yang akan melakukan bidaan kira-kira 50 juta pound ke atas (RM 245 juta). Sebelum itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish dikhabarkan enggan melepaskan pemainnya yang paling bernilai itu menyertai Chelsea.
Sehingga 1 pagi waktu Malaysia, Pengerusi Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay difahamkan telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Torres mengenai pembelian kontrak dan gaji yang dijangka bakal menjangkau 80 juta pound (RM 392.4 juta)
Chelsea akan membayar 45 juta pound yang bermakna dia akan dibayar sebanyak 200,000 pound (RM 979,000) seminggu termasuk bonus, jumlah itu hampir melebihi sekali ganda gaji Torres di Liverpool iaitu 110,000 pound (RM 538,740).
Torres akan mengikat kontrak selama lima tahun dengan jumlah besarnya 35 juta pound (RM 171.44 juta).
Liverpool sebelum ini sudah berjaya mendapatkan khidmat penyerang Uruguay dan Ajax Amsterdam, Luis Suarez dengan yuran perpindahan 22.8 juta pound (RM 111.7 juta) dan akan menyarung jersi nombor tujuh yang pernah digunakan oleh pengurus, Kenny Dalglish. - Agensi