14 Oktober 2011

ACT pengukur efektif



SITI SARAH ABDUL MUJIB, 31, memang dilahirkan dengan penyakit asma yang diwarisi daripada keluarganya.

Sejak kecil dia bergantung hidup dengan ubat-ubatan dan sering ke hospital setiap kali penyakit itu menyerang.

Memasuki alam persekolahan, asma yang dihidapinya semakin pulih dan menginjak usia 26 tahun, Sarah merasakan dirinya telah sihat sepenuhnya tanpa perlu mengambil sebarang ubat.

Namun, pada satu malam sewaktu wanita itu hamil anak kedua, secara tiba-tiba dia merasakan dadanya sempit dan mengalami kesukaran untuk bernafas, kunjungannya ke hospital mengesahkan Sarah kembali diserang asma.

"Ketika itu asma saya masih tidak serius, saya hanya mengambil ubat berbentuk tablet yang diberikan hospital. Tetapi selepas bersalin ia semakin teruk, kahak saya mengeluarkan warna kekuningan pekat dan hal itu memaksa pihak hospital mengarahkan saya merujuk kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR).

"Saya menjalani beberapa sesi perubatan di IPR dan mereka mengesyorkan saya menggunakan ubat sedut (inhaler) jenis inhaled corticosteroids (ICS) yang menggunakan steroid sebagai pelega jangka panjang," jelas Sarah.

Bagi memastikan asma yang dihidap Sarah terkawal, doktor turut meminta Sarah menggunakan inhaler jenis short acting beta antagonist (SABA) apabila diserang asma secara tiba-tiba kerana dapat meredakan penyakit itu dengan cepat.

Ujian ACT tiga bulan sekali


ABDUL RAZAK menyarakan pesakit asma menjalankan ujian ACT setiap tiga bulan sekali.


Dalam pada itu, Sarah turut menjalani Ujian Kawalan Penyakit Asma (ACT) setiap tiga bulan sekali bagi mengetahui tahap kawalan penyakit asma yang dimilikinya.

Dengan menjawab lima soalan mudah, Sarah dapat mengetahui keberkesanan kawalan asmanya berdasarkan markah yang diperoleh daripada jawapan yang diberikan.

Tiga tahap disenaraikan dalam ACT iaitu terkawal sepenuhnya, terkawal dengan baik dan tidak terkawal membolehkan pesakit mengenal pasti tahap asma mereka sepanjang tiga bulan itu dan memudahkan mereka mengambil inisiatif bagi memperbaiki keputusan yang diperoleh.

"ACT meningkatkan motivasi diri saya untuk mencapai tahap kawalan asma lebih baik. Apabila keputusan ACT saya kurang memberangsangkan, saya akan mengenal pasti punca kelemahan.

"Pada awalnya saya mendapat keputusan tidak terkawal namun, lama-kelamaan ia semakin baik dan kini saya berada dalam kumpulan terkawal dengan baik," ujar Sarah.

ACT doktor terbaik

Pengarah IPR, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif memberitahu, ACT memudahkan pesakit dan doktor membincangkan bagaimana pesakit dapat mengawal penyakit mereka dengan lebih teratur untuk tempoh tiga bulan berikutnya.


PENGGUNAAN inhailer adalah pelega terbaik untuk pesakit asma.


"Menerusi ACT, kita dapat melihat kekerapan serangan asma dan berdasarkan rekod itu pesakit dapat menilai kembali punca masalah serangan asma.

"Ia mungkin disebabkan aktiviti harian yang terlalu padat ataupun pengambilan inhaler yang tidak teratur, jadi ACT dapat mengesan kekuatan dan kelemahan kawalan asma pesakit.

"Jika pesakit itu memperoleh keputusan ACT memberangsangkan, doktor akan mengurangkan dos ubat yang perlu diambil dan begitu juga sebaliknya.

"Jadi ACT merupakan doktor terbaik buat pesakit kerana segala jawapan bagi penyakit mereka terletak kepada pengetahuan mereka terhadap tahap kawalan diri," jelas Abdul Razak ketika sesi pengenalan ACT dalam bahasa Melayu di Damansara Specialist Hospital, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mula diperkenalkan pada tahun 2005, ACT merupakan soal selidik merangkumi soalan-soalan berkenaan simptom asma, kesan asma dalam fungsi seharian, penggunaan inhaler dan kawalan asma berkaitan diri sendiri.

Selain ACT, Inisiatif Global untuk Asma (GINA) juga menjadi kayu ukur kepada kawalan asma penduduk di 12 negara Asia di bawah kaji selidik Asthma Insights and Reality in Asia-Pacific Phase 2 (AIRIAP 2).

Rawat ikut kawalan


GAMBAR RAJAH menunjukkan antara punca yang menyebabkan serangan asma di persekitaran kita.


Fasa kedua AIRIAP yang dibiayai GlaxoSmithKline (GSK) itu mula dijalankan pada tahun 2006 bagi menentukan tahap kawalan asma terkini negara-negara terlibat dengan menjadikan indeks kawalan simptom berasaskan GINA sebagai pengukur utama dan ACT sebagai pengukur sekunder.

Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainudin Md. Zin berkata, terbitan kaji selidik AIRIAP 2 itu juga berfungsi sebagai sokongan kepada keperluan rawatan asma berdasarkan kawalan dan bukan mengikut tahap keterukan.

"Kini, seramai 300 juta orang menderita akibat penyakit asma di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 400 juta orang menjelang 2025.

"Satu daripada 250 kematian disebabkan asma kebanyakannya boleh dicegah tetapi, kerana kelemahan kawalan, nyawa mereka melayang.

"Negara Asia mencatatkan tahap asma tidak terkawal lebih tinggi berbanding Eropah dan ia mungkin berpunca daripada faktor-faktor seperti kecenderungan pengambilan ubat berbentuk pil," ujar Zainudin.

Difahamkan, inhaler ICS yang perlu diambil pesakit asma setiap hari masih belum diguna pakai secara meluas berikutan ketakutan orang ramai terhadap penggunaan steroid dalam pelega jangka panjang itu.

Kebanyakan pesakit asma di Malaysia pula lebih selesa menggunakan SABA kerana ia mampu memberi kelegaan segera tetapi, tempoh itu tidak bertahan lama.

Selain itu, pemilihan ubat berbentuk pil atau tablet juga dikatakan menjadi antara punca mengapa kawalan asma pesakit terganggu kerana tablet tidak bertindak terus ke paru-paru dan hanya pergi ke perut.

"Pesakit yang mengambil tablet untuk asma akan mengalami jantung berdebar dan menggigil. Hal ini berbeza dengan inhaler yang mampu memberi rawatan lebih efektif. Memandangkan kos membeli tablet lebih murah, ramai orang memilih ubat itu dan kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi menyediakan ubat berbentuk tablet.

"Pesakit perlu tahu bahawa dengan mengeluarkan wang lebih membeli inhaler adalah lebih baik bagi mengawal asma, malah mereka sebenarnya akan dapat menjimatkan kos perubatan untuk tempoh masa yang panjang," tambah Abdul Razak lagi.

Abdul Razak pula turut mendedahkan bahawa majoriti pesakit asma hanya mengambil ubat pelega apabila simptom muncul dan kesannya mengakibatkan serangan asma lebih kerap.

PC tewas kepada IPad dan telefon pintar


PENGGUNA kini lebih cenderung mendapatkan iPad atau Samsung Galaxy Tab 10.1 berbanding PC.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Firma perunding Gartner kelmarin melaporkan jualan komputer peribadi (PC) di seluruh dunia merosot pada suku tahun kewangan yang berakhir baru-baru ini kerana pengguna lebih gemar membeli komputer meja dan telefon pintar.

Di AS, bilangan PC yang dieksport dalam suku kewangan ketiga tahun ini terus menurun.

"Pasaran PC pengguna terus lemah," kata penganalisis kanan Gartner, Mikako Kitagawa.

"Ia susulan gajet bukan PC termasuk tablet media seperti iPad dan telefon pintar yang semakin popular dan menjadi pilihan terkini pengguna," tambahnya.

Menurut Kitagawa lagi, Hewlett Packard (HP) kekal pengeluar komputer terbesar dunia, tetapi Lenovo yang berpangkalan di China semakin kukuh apabila jualan PC syarikat itu melonjak 25 peratus sekali gus merampas tempat kedua daripada Dell sepanjang tahun ini.

Laporan Gartner turut meramalkan tablet media dan telefon pintar akan terus memberi kesan kepada jualan PC terutama di AS. - AFP

DUIT