|
|
Pelbagai jenama easy-ride boleh didapati di Asia dan juga pasaran tempatan tetapi setiap daripadanya menampilkan keistimewaan yang tersendiri tak kira sama ada datang dari barat mahupun timur.
Kali ini, WOW! menampilkan satu-satunya monster chopper keluaran West Coast Choppers dari Long Beach, Califronia, Amerika Syarikat yang dimiliki penunggang negara ini.
Bagi yang sentiasa mengikuti rancangan Discovery Channel dalam segmen Motorcycle Mania, jenama tersebut bukan sesuatu yang asing.
Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan pemotoran tempatan sudah tentu sedikit sebanyak mengetahui mengenai motosikal yang diberi nama Chooper Looper dari Ged Garage Malaysia.
Jika anda tertanya-tanya berapa kos yang diperlukan untuk menyiapkan motosikal ini sudah tentu mengejutkan kerana kos keseluruhan RM150,000.
Maka tak hairanlah jika ia mendapat perhatian ramai setelah mendapat tempat ketiga dalam kategori Motosikal Custom Terbaik ketika Phuket Bike Week 2009 dan anugerah chopper terbaik ketika Melaka International Bike Week 2009.
Jika motor custom made biasanya menggunakan bahan terpakai namun Chooper Looper menggunakan 100 peratus barangan baru yang diimport dari luar negara.
Bagaimanapun, motosikal itu mengambil masa selama hampir setahun setengah untuk disiapkan setelah beberapa kali diubah suai sehingga pemilik berpuas hati dengan penampilannya.
Walaupun tidak banyak bezanya dengan motosikal berkuasa tinggi lain seperti model Indian Larry Motorcycle, Billy Lane, Roland Sand, Exile Cycle, Titan dan juga California Motorcyle Company (CMC), model jenis ini juga mampu memberikan kepuasan kepada pemilik dari segi pengubahsuaiannya.
Boleh dikatakan model jenis ini merupakan antara model termahal dalam keluarga West Coast Chopper yang menggunakan kerangka badan jenis hard tail rigid dan lebih kurang 70 peratus aksesori lain juga menggunakan aksesori daripada keluaran syarikat berkenaan.
Nama Chooper Looper diberikan berdasarkan ilham daripada warna tembaga yang diguna pakai pada motosikal tersebut, malah warna itu juga jarang sekali digunakan dalam produksi pemotoran.
Chooper Looper digerakkan menggunakan enjin V-twin S&S Cycle yang sudah sinonim dalam bidang pengubahsuaian motor.
Enjin itu juga sudah tentu memberikan kepuasan kepada penunggang tak kira sama ada dalam jarak dekat mahupun jarak jauh.
Manakala trasmisi pula menggunakan sistem jenis baker drive-train enam gear yang melancarkan pergerakan enjin berkapasiti 1600cc.
Batang hendal yang digunakan dari jenis baby appe juga dari jenama yang sama. Mengikut pemiliknya, pemilihan hendal motosikal bergantung kepada saiz pemilik. Kebiasaanya saiz sederhana lebih memberikan keselesaan ketika menunggang motosikal.
Tidak banyak wayar kelihatan di bahagian hadapan motosikal ini kerana dimasukkan dalam kerangka. Ia kelihatan lebih bersih.