14 Jun 2010

Pegaga, Antara 100 Herba Terbaik Dunia

Herba hijau berbentuk hampir bulat ini boleh membantu mempertingkatkan peredaran darah dan kesihatan kulit. Malah dibarat, pegaga diangkat sebagai herba yang baik untuk daya ingatan dan otak.

Terdapat kajian yang menunjukkan terdapat kompound yang diekstrak daripada pegaga sesuai untuk mengubati penyakit Alzheimer. Ujian ke atas tikus pula menunjukkan ekstrak C. asiatika daripada pegaga boleh menghalang ulser gastrik.

Selain itu, ia juga membawa kesan positif kepada penghidap hipertensi. Ekstrak yang sama daripada pegaga dikatakan berkesan untuk menurunkan tekanan darah. Pengambilan secara oral juga dipercayai dapat memperlahankan pertumbuhan sesetengah jenis ketumbuhan. C. asiatika juga amat berkesan dalam mengawal jangkitan virus.

Sebab itu, dari segi komersial, pegaga amat bernilai kerana daripadanya diekstrak asid asiatik dan asiatikoside yang digunakan dalam produk dematologial untuk menghilangkan parut. Selain itu, komponen lain daripada ekstrak pegaga juga bermanfaat untuk mengubati luka dan memberi kesan vaskular.

Sungguhpun pegaga mempunyai banyak manfaat kesihatan, tidak bermakna herba ini boleh diambil sesuka hati. Seperti juga pengambilan ubat dan rawatan therapeutik lain, pengambilannya perlulah mengikut peraturan agar selamat dan berkesan.

Sesetengah individu mungkin alah kepada pegaga sehingga menyebabkan radang kulit. Sungguhpun begitu belum terbukti pegaga bersifat toksik dalam dos yang selamat. Apapun, jika diambil secara berlebihan, pegaga boleh mengakibatkan sakit kepala, dan dalam sesetengah kes, pengsan. Bagi kaum wanita, awas! Jika diambil secara berlebihan, boleh menghalang anda daripada hamil.


Apabila membeli pegaga, pilihlah yang ditanam dalam persekitaran bersih.

Memilih Pegaga

Lazim dijamah sebagai ulam, pegaga memang enak dinikmati bersama sambal. Bagaimanapun, apabila membeli pegaga, pilihlah yang berdaun besar dan mempunyai lebih kandungan air, kerana ia besar kemungkinan lebih kaya dengan bahan-bahan aktif. Pegaga tempatan contohnya, memenuhi kategori ini.

Selain itu, adalah lebih baik jika anda mengetahui sumber atau dari mana pegaga itu diperolehi. Sesetengah pegaga dipetik dari tepi-tepi parit yang tercemar dengan bahan-bahan kimia, logam berat serta bahan cemar lain yang boleh memudaratkan kesihatan. Jadi pilihlah pegaga yang ditanam dalam persekitaran yang bersih.

Tabiat Makan Yang Perlu Dielak

1. Meninggalkan sarapan pagi

Sarapan pagi amat penting untuk membekalkan tenaga. Anda memerlukan tenaga bagi menghadapi hari yang panjang; memberi tumpuan kepada kerja, berdepan tekanan serta melakukan pelbagai aktiviti fizikal lain. Tanpa bekalan tenaga daripada sarapan pagi yang baik, anda pasti mudah letih dan tidak bermaya.



2. Makan terlalu banyak

Anda perlu makan, tetapi bersederhanalah. Terlalu banyak makan bukan sahaja akan membawa kesan dari sudut fizikal tetapi juga kesihatan. Jika makan banyak menjadi tabiat, besar kemungkinan anda akan menghadapi masalah berat badan berlebihan, atau lebih buruk, obesiti. Perut buncit dan tubuh yang dibaluti terlalu banyak lemak bukan sahaja menjejaskan penampilan tetapi juga berisiko tinggi kepada pelbagai penyakit.

3. Mengambil terlalu banyak lemak, garam dan gula

Jika pun anda tidak makan banyak, awasi makanan yang anda ambil setiap hari. Makanan bergoreng dan mengandungi kandungan lemak, garam serta gula yang tinggi tidak baik untuk kesihatan. Ingatlah, penyakit-penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis saling berkait. Awasi pengambilan makanan yang mengandungi bahan-bahan ini, kurangkan sedikit demi sedikit, dan belajar menikmati makanan tanpanya.

4. Makan dan mengambil snek ketika melakukan kerja

Tabiat ini akan menyebabkan anda makan berlebihan, dan akhirnya menambahkan berat badan. Cuba fikirkan kembali, apabila anda makan sambil melakukan kerja, anda tidak sedar banyak mana makanan atau snek sudah anda kunyah. Anda makan secara 'mekanikal' dan sering kali juga sukar untuk berhenti mengunyah!

5. Makan sebelum tidur

Tubuh berehat apabila kita tidur, tetapi apabila anda makan sebaik sebelum tidur, perut akan terus bekerja dan proses 'mengosongkan' perut menjadi lebih perlahan.

6. Kurang makan sayur dan buah-buahan

Jangan makan hanya sekadar untuk kenyang. Fikirkan juga khasiat makanan yang dijamah. Anda memerlukan pelbagai nutrien yang boleh didapati daripada buah-buahan dan sayur-sayuran untuk lebih sihat.



7. Tidak minum air kosong mencukupi

Air amat penting untuk kekal sihat. Jika anda kurang minum air dalam sehari, ia boleh mengurangkan kadar metabolisma. Air amat diperlukan tubuh kita dalam semua fungsi metaboliknya, termasuk untuk membakar kalori. Jadi minumlah lebih banyak air!

DUIT