06 Mei 2010
5 Langkah Bentuk Tabiat Makan Anak
Kanak-kanak amat cenderung meniru perbuatan orang dewasa.
Kecenderungan ini adalah satu peluang baik bagi ibu bapa membentuk tabiat makan yang sihat di kalangan anak-anak.
Sebab itu, adalah penting ibu bapa juga memberi contoh yang baik kepada anak, bukan sahaja daripada segi kata-kata dan berbuatan, tetapi juga amalan dan tabiat makan.
Jika mahu anak-anak dibentuk dengan tabiat makan yang sihat, maka anda perlu menjadi role model. Jangan pula menyuruh anak makan sayur-sayuran dan ikan, tetapi anda mengunyah kentang goreng serta menyedut minuman berkarbonat yang bergula. Perbuatan sebegitu tidak akan berjaya membentuk tabiat anak-anak.
Ada beberapa langkah yang boleh diikuti untuk membentuk tabiat makan yang sihat di kalangan ahli keluarga yang masih kecil. Antaranya:
1. Makan bersama. Waktu sarapan pagi dan makan malam adalah peluang yang baik. Tempoh singkat ini boleh mengeratkan hubungan keluarga di samping menikmati makanan enak dan sihat. Cuma pastikan makanan yang disediakan adalah yang sihat.
2. Lebih kerap masak sendiri di rumah. Makanan yang disediakan sendiri lebih bersih dan sihat untuk seluruh ahli keluarga. Amalan ini juga adalah satu contoh yang baik untuk anak-anak. Makanan yang disediakan di restoran lazimnya mengandungi lebih banyak lemak, gula dan garam. Sungguhpun begitu, tidak salah sekali-sekala makan di luar, terutama jika meraikan hari-hari istimewa.
3. Libat anak-anak semasa membeli-belah dan penyediaan makanan. Dengan cara itu, anda boleh mendidik mereka mengenai nilai nutrisi dan bagaimana membaca label di bungkusan makanan.
4. Sediakan pelbagai makanan berkhasiat. Sama ada di dalam peti sejuk atau di dapur, simpan buah-buahan, sayur-sayuran, snek-snek yang baik untuk kesihatan, minuman sihat (air mineral, susu, teh herba, jus buah-buahan dan lain-lain), atau makanan-makanan lain yang sihat untuk anak-anak. Ini untuk memudahkan mereka mencapai makanan yang baik apabila terasa lapar.
5. Beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih. Jika anak-anak tidak dapat menghabiskan makanan mereka, janganlah dipaksa. Lebih buruk jika anda gunakan makanan sebagai ganjaran atau 'rasuah'. Jika mereka tidak gemar makan yang sihat, anda perlu lebih kreatif dalam menyediakannya agar anak-anak tertarik mencubanya.
Panduan Makan Di Luar
Jika ke restoran-restoran makanan segera pula, segalanya mesti mengikut menu standard yang tersedia.
Sungguhpun begitu, ramai yang memilih untuk makan di luar; mungkin kerana tiada masa untuk menyediakan makanan sendiri, mahu mencuba menu baru, atau bersantai bersama kawan-kawan sambil menjamu selera.
Apa jua alasan anda, perkara utama yang perlu difikirkan ialah, makanan mesti baik untuk kesihatan. Jika mahu mengamalkan pemakanan sihat tanpa perlu mememasaknya sendiri, anda perlu bijak!
Apabila makan di luar, PILIH:
1. Tempat; sama ada restoran atau warung yang bersih.
2. Makanan yang sihat; kurang berminyak atau lemak, kurang manis atau masin dan rendah kalori. Contohnya, pilih capati, bukan roti canai, atau nasi putih dengan seketul kari ayam berbanding nasi briyani dengan dua ketul kambing.
3. Jenis makanan yang dipanggang, bakar, rebus, kukus, stir-fry dan elakkan makanan yang digoreng dengan minyak yang banyak, bersantan atau berkrim. Contoh, pilih mee sup berbanding mee kari atau popia basah berbanding popia goreng.
4. Pesan makanan yang sederhana. Jangan memesan terlalu banyak makanan; bukan sahaja untuk mengelak daripada pembaziran jika tidak dapat dihabiskan, tetapi juga untuk elak makan terlalu banyak sedangkan anda sudah pun kenyang.
5. Pesan desert hanya selepas habis makan. Mana tahu, anda sudah pun kenyang dan sebenarnya tidak perlu makan desert lagi. Jika mahu, pesan buah-buahan sahaja.
6. Air kosong berbanding sirap, air berkarbonat atau yang mengandungi banyak gula