20 Disember 2010

Robot tukang urut


WHEEME menggunakan teknologi sensor kecondongan untuk mengelakkan ia jatuh.

SELEPAS seharian bekerja, anda tentu berasa penat badan dan juga minda. Bagi mengembalikan tenaga, ada warga kota yang suka memanjakan tubuh mereka dengan merendam dalam air panas dan mendapatkan urutan di spa atau pusat urut.

Bagaimanapun, dewasa ini terdapat terlalu banyak pusat-pusat urut tidak bertauliah menyebabkan sukar bagi kita untuk memilih tempat mengurut yang terbaik.

Oleh itu, ramai juga yang beralih kepada 'tukang-tukang urut' elektronik untuk mendapatkan keselesaan badan iaitu membeli kerusi-kerusi urut yang semakin banyak dipasarkan di negara ini dengan pelbagai jenama.

Namun, yang kurang menariknya ialah kerusi-kerusi urut ini kebanyakannya berharga ribuan ringgit, terlalu besar, sukar diubah-ubah tempatnya dan hanya sesuai untuk mengurut dalam keadaan duduk atau melentang.

Bagaimana pula jika dikatakan ada si tukang urut cilik yang boleh membantu membelai badan anda walau di mana sahaja atau dalam keadaan apa anda berada?

Jangan salah sangka pula. Ini kerana si cilik yang penulis maksudkan bukannya anak kecil kita yang diminta memijak belakang badan tetapi ia adalah robot kecil yang mampu mengurut!

Robot-robot kecil si pengurut ini sememangnya banyak dibangunkan di makmal-makmal penyelidikan di seluruh dunia tetapi setakat ini tiada yang dipasarkan secara komersial.

Sebuah robot mengurut dikenali sebagai Tickle misalnya bersaiz sangat kecil tetapi dikatakan mampu memberikan urutan seakan mendapatkan rawatan urutan Sweden di spa? Benarkah? Tidak pasti kerana penulis sendiri belum pernah menguji robot ini.

Robot kecil seperti kereta kebal mainan ini merupakan sebuah kapsul aluminium yang dilengkapi dengan dua pasang tayar berjejari getah seperti tayar kereta kebal yang akan berjalan-jalan di atas badan dan seterusnya memberikan urutan ringan yang menyedapkan.

Robot ini akan merangkak atau bergerak-gerak di atas badan ketika anda meniarap atau berbaring, menggunakan motor berkuasa bateri yang mempunyai sensor tersendiri bagi mengelakkannya terjatuh.

Setiap rodanya digerakkan oleh sebuah motor berasingan dan ini membolehkannya bergerak ke hadapan dan belakang atau kiri kanan dengan mudah.

Pergerakannya menggunakan konsep mudah iaitu apabila sensor mengesan terdapat permukaan badan yang terlalu dalam, ia akan cuba mencari permukaan yang lebih rata dan selamat.

Robot prototaip ini dibangunkan menggunakan program kawalan pintar dengan menggunakan mikro-controller dan pergerakannya mengambil kira semua keadaan.

Tickle model prototype 2 ciptaan Erwin Driessens & Maria Verstappen ini telah memenangi hadiah pertama pada LIFE 2.0, pertandingan antarabangsa mengenai seni dan kehidupan artifisial.

WheeMe

Sementara itu, sebuah lagi robot si tukang urut yang menggunakan konsep yang sama juga telah dicipta oleh DreamBots dengan nama WheeMe.

Robot ini juga menggunakan 'teknologi sensor kecondongan yang unik' untuk membolehkannya bergerak perlahan-lahan di atas badan anda tanpa jatuh atau kehilangan pegangan.

Proses urutan lembut dilakukan oleh keempat-empat roda getah yang terdapat pada robot ini ketika ia bergerak ke seluruh badan.

Menurut DreamBots, walaupun robot itu tidak mampu untuk melakukan urutan tisu yang dalam kerana ia sangat ringan, iaitu 240 gram sahaja, tetapi ia dikatakan mampu memberikan rasa selesa dan seronok kepada orang yang diurutnya.

Robot WheeMe bersaiz tapak tangan, juga kelihatan seperti kereta kebal mainan seperti Tickle .

Dengan teknologi sensor, ia bergerak dengan mudah di belakang anda dan jejari nylon yang terdapat pada rodanya akan memberikan urutan yang mengasyikkan.

WheeMe dijangka akan dipamerkan pada Pameran Elektronik Pengguna di Los Angeles awal bulan depan.

Penyangak Arab muncul semula


dua lelaki Arab dipercayai telah menggunakan pukau sebelum melarikan wang di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Setiu kelmarin.


SETIU – Dua lelaki dipercayai dari Arab berjaya melarikan RM1,200 dari sebuah kedai telefon bimbit di Bandar Permaisuri di sini kelmarin selepas berpura-pura mahu mendapatkan wang dengan nombor siri bermula huruf M.

Pemilik premis tersebut, Mariam Long @ Ismail, 25, berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.15 petang kelmarin ketika kedua-dua suspek datang ke kedainya dan bercakap dalam bahasa Inggeris untuk membeli sekeping kad prabayar bernilai RM10.

Menurutnya, salah seorang lelaki berkenaan mengeluarkan wang tunai not RM100 untuk membayar harga kad itu.

“Sebaik pekerja saya memulangkan baki wang itu sebanyak RM90 iaitu sekeping not RM50 dan empat keping not RM10, lelaki itu minta tukar not RM50 yang nombor sirinya bermula dengan huruf M.

“Perkara itu menyebabkan pekerja saya terpaksa mencari dan mengambil lebih 30 keping wang RM50 yang lain di dalam laci di kedai untuk ditunjukkan kepada suspek bagi memudahkan suspek sendiri mencari siri huruf M pada wang tersebut,” ceritanya ketika ditemui di kedainya di sini semalam.

Nama dijulang di pentas antarabangsa




SEMEMANGNYA kehadiran Katrina Kaif di pentas Bollywood meraih populariti yang luar biasa. Sejak dikenali menerusi filem Hindi berjudul Boom sekitar 2003, pelakon yang memiliki raut wajah manis dan jelita itu pantas menjadi rebutan pelbagai pihak produksi filem dan agensi pengiklanan.

Ramai yang enggan melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat aktres kelahiran Hong Kong tersebut memandangkan dia memiliki etika bekerja yang berdisiplin dan sisi fotogenik di depan lensa kamera. Pada masa yang sama, Katrina dianggap salah seorang pelakon wanita di Bollywood yang berjaya menjiwai pelbagai watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Terbaru, profil karier Katrina mencatat satu lagi anugerah cemerlang yang didambakan oleh ratusan wanita di dunia ini. Bagi tiga tahun berturut-turut, pelakon berusia 26 tahun itu sekali lagi diiktiraf sebagai Wanita Paling Seksi di Dunia 2010, kendalian akhbar Eastern Eye's.

Ia merupakan akhbar yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris untuk komuniti Asia di London.

Meskipun tercalon bersama barisan pelakon Bollywood yang berkaliber dan terlebih dahulu mencipta nama di peringkat antarabangsa tetapi Katrina tetap menjadi pilihan ramai. Popularitinya bukan sahaja meniti di bibir peminat di India mahupun Pakistan malah melanda hati penduduk di London.

Bicara wanita muda setinggi 172 sentimeter itu, dia berasa terharu apabila sekali lagi diiktiraf dalam kategori sedemikian.

Rasa malu

"Secara jujurnya saya gembira tetapi pada masa yang sama terbit rasa malu apabila digelar wanita paling seksi sedangkan, secara peribadi saya tidak nampak sisi seksi itu pada diri saya kerana pada waktu senggang saya lebih selesa berbaju T dan berseluar jean.

"Gaun pendek atau terdedah pula akan digayakan sewaktu menghadiri majlis formal, hiburan atau berprestij. Kadangkala teman-teman baik saya pun turut mentertawakannya kerana menganggap gelaran seksi itu tidak ideal buat saya," jelas anak kepada pasangan Mohamed Kaif berketurunan India dan Suzanne Turquotte (warga Britain), dalam satu pertemuan bersama media.

Walau bagaimanapun, Katrina yang rapat dengan ibunya, sempat melahirkan rasa terima kasih kepada peminat yang sudi mengundinya.

Tambah duta syampu Pantene itu: "Saya gembira menjuarai senarai Eastern Eye's kerana England sememangnya negara istimewa buat saya. Pada masa yang sama, saya rasa bertuah diundi sebagai wanita paling seksi oleh penduduk tempatan di sana."

Secara ringkasnya, pemilihan kategori berkenaan dibuat berdasarkan gambar wanita yang paling banyak dirakam dan paling dikehendaki oleh penerbit filem dan peminat.

Inspirasi Barbie


WAJAH cantik Katrina membuatkan syarikat Mattel Inc. menjadikannya inspirasi patung boneka Barbie terbaru.


Menyusuri perihal Katrina yang pernah membesar di Hawaii, selain gelaran wanita paling seksi, dia juga dikenali sebagai boneka Barbie Bollywood. Raut wajahnya yang manis, bertubuh langsing dan berjaya dalam karier secara tidak langsung memikat pengeluar anak patung Barbie, Mattel Inc. di India, memilihnya sebagai inspirasi Barbie.

Kelahiran anak patung Katrina itu menunjukkan kejayaan dirinya mencipta nama dan pengaruh di pentas antarabangsa. Paling mengujakan adalah apabila boneka Barbie Katrina Kaif telah dipamerkan di Muzium Barbie di Amerika Syarikat dan bakal dijual di seluruh dunia.

Namun tidak dinafikan masih ramai yang tidak menyedari bahawa sebelum bergiat aktif dalam bidang lakonan, Katrina terlebih dahulu bergelar model katalog dan beraksi di pentas peraga. Dia yang dilahirkan pada 16 Julai 1984 telah memulakan karier model tatkala menginjak usia 14 tahun. Tugasan pertamanya ialah menjadi model untuk kempen koleksi barang kemas.

Menyedari bidang peragaan semakin sebati dengan dirinya, Katrina mula mendaftarkan diri dalam agensi model 1 Agency di London. Berkat usaha dan komited yang diberikan, Katrina diberi peluang beraksi untuk kempen iklan jenama pakaian dalam La Senza dan Arcadius. Ini termasuklah melibatkan diri dalam pertunjukan fesyen di pentas peraga Minggu Fesyen Week.

"Meskipun sibuk di set penggambaran dan fotografi untuk pelbagai editorial majalah, tetapi saya masih aktif dalam bidang peragaan dan fesyen. Sebab itu, saya telah mengambil keputusan untuk melancarkan koleksi pakaian jenama saya sendiri.

"Jadi, bagi memastikan pakaian yang ditawarkan menepati cita rasa wanita zaman kini, saya telah bekerjasama dengan pereka fesyen Rocky S," tutur duta produk Olay dan Lux itu selanjutnya.

Tuah Slumdog

Selain Katrina Kaif, heroin filem Slumdog Millionaire, Freida Pinto, 26, juga antara pelakon dan model kelahiran India yang mencipta populariti tersendiri di persada Hollywood. Sejak membintangi filem arahan Danny Boyle yang berjaya meraih banyak anugerah itu, nama Pinto mula dikenali ramai.

Secara amnya, Freida yang dilahirkan di Mumbai, India juga merupakan seorang model pentas. Malah, bekas penuntut di Carmel of St. Joseph School di Malad itu pernah membuat kemunculan menerusi iklan komersial seperti berlian De Beers dan produk telefon bimbit Vodafone.

Seperti mana Katrina, Freida yang dibesarkan dalam keluarga berada sudah beberapa kali diumumkan sebagai wanita tercantik dunia oleh beberapa majalah antarabangsa.

Kemunculannya di pentas filem dan iklan peringkat antarabangsa, sebenarnya menggugat periuk nasi selebriti dan supermodel di sana.

Buktinya, sebelum ini media pernah melaporkan pemenang Oscar, Gwyneth Paltrow melahirkan kebimbangan sekiranyaa Freida Pinto merampas kontrak Estee Lauder yang bernilai 1 juta pound sterling (RM5.2 juta) daripadanya.

Semua itu gara-gara laman web dailymail.co.uk, pernah melaporkan bahawa Freida bakal menjadi wajah baru Estee Lauder.

Namun begitu, Gwyneth dapat menarik nafas lega apabila jenama kosmetik L'oreal terlebih dahulu memilih Freida.

Paris Hilton taja pasukan lumba motosikal 125cc


PARIS HILTON bergaya dengan menunggang sebuah motosikal pasukan perlumbaan miliknya di Madrid, kelmarin.


MADRID - Pelakon terkenal, Paris Hilton yang juga merupakan pewaris empayar perniagaan keluarganya menaja sebuah pasukan perlumbaan motosikal di sini kelmarin.

Pada satu sidang akhbar, Paris, 29, mengumumkan bahawa dia menaja pasukan lumba motosikal yang dikenali sebagai SuperMartxe VIP.

Pasukan itu akan bertanding dalam musim motosikal grand prix bagi kategori 125cc pada tahun depan.

Pelumba pasukan itu akan dipilih dengan kerjasama pasukan Queroseno Racing yang beribu pejabat di Barcelona.

Penglibatan terbaru selebriti itu dalam dunia perlumbaan motosikal akan melebarkan lagi bisnesnya yang sebelum ini meliputi minyak wangi, koleksi aksesori dan program realiti televisyen.

Selebriti itu turut memberitahu, pengalamannya menyertai majlis pelancaran pasukan perlumbaannya di laman Twitter.

Dia yang menghantar gambarnya beraksi dengan motosikal lumba menyatakan dalam laman berkenaan bahawa dia amat meminati motosikal tersebut selain menyatakan sidang akhbar tersebut sebagai 'panas.' - Agensi

Janda kaya pulangkan lebih RM22.56 bilion

NEW YORK - Seorang janda, Barbara Picower akan memulangkan semula lebih AS$7 bilion (RM22.56 bilion) kepada mangsa-mangsa penipuan skim cepat kaya anjuran pelabur terkena yang kini dipenjarakan selama 150 tahun, Bernie Madoff.

Wang yang akan dipulangkan itu adalah milik suaminya, Jeffrey Picower yang telah meninggal dunia kerana serangan jantung di tepi kolam renang di rumah miliknya di pantai Palm, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 2009 semasa berumur 67 tahun.

Sebelum meninggal dunia, Jeffrey melabur dalam skim cepat kaya itu selama beberapa tahun dan memperoleh pulangan lumayan.

Namun, ekoran kematian Jeffrey, aset dan harta miliknya diwariskan kepada Barbara.

Peguam Bagi Daerah Selatan New York, Preet Bharara berkata: "Penyelesaian ini mewakili pemulangan kembali rampasan terbesar dalam sejarah AS."

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar mengenai pemulangan semula wang yang telah dilaburkan itu di sini pada Jumaat lalu.

Setakat ini, pemegang amanah yang dilantik mahkamah, Irving Picard hanya memperoleh semula wang yang telah dilaburkan Madoff sebanyak AS$1.55 bilion (RM4.85 bilion) sedangkan dia dipercayai pendakwa raya mengambil wang para pelabur sebanyak AS$65 bilion (RM203.74 bilion).

Pemulangan wang yang dilakukan janda kaya itu mungkin akan menyebabkan mangsa-mangsa penipuan skim cepat kaya anjuran Madoff mendapat sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah wang yang telah dilaburkan mereka.

Selama bertahun-tahun, Madoff menggunakan wang pelabur baru untuk membayar dividen kepada pelabur lama.

Namun, ekoran krisis kewangan yang menyebabkan harga saham merudum pada 2009, Madoff terpaksa membuat pengakuan bahawa skim pelaburannya adalah skim cepat kaya.

Madoff mengaku bersalah pada tahun lalu kerana mewujudkan skim cepat kaya yang paling besar di dunia menyebabkan dia dihukum 150 tahun penjara. - Agensi

DUIT