Pengambilan sedikit penambah rasa elak risiko penyakit bahayaGaram apa yang dibayangkan ialah serbuk putih sering digunakan
sebagai penambah rasa dalam masakan. Namun, berapa banyakkah garam yang
diperlukan? Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pengambilan
garam sepatutnya lima gram termasuk 'garam tersembunyi'.
Ini merujuk kepada garam terkandung dalam bahan makanan
seperti kicap, sos, mayonis, keju, ikan masin, penambah perisa dan kiub
perasa. Makanan siap diproses seperti sosej dan makanan dalam tin juga
tidak terkecuali mengandungi garam tersembunyi ini.
Menyokong
tema Hari Sambutan Kesihatan Sedunia disambut, pada 7 April ini yang
bertemakan Tekanan Darah Tinggi, Kementerian Kesihatan menekankan
mengenai pengurangan pengambilan garam tersembunyi untuk mengurangkan
kadar risiko penyakit bahaya dalam kalangan penduduk.
Rahsia garam tersembunyi
Mungkin ramai masih samar mengenai kehadiran ‘garam tersembunyi,
menjelas lanjut mengenai kandungan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan
Mustapha, berkata corak pengambilan makanan berasaskan garam perlu
diberi penekanan dan disiplin bagi mengurangkannya kebergantungan
terhadap penambah rasa itu.
Katanya, pengambilan garam yang
tinggi antara penyumbang kepada tekanan darah dan peningkatan penyakit
angin ahmar dan jantung.
“Apabila menyentuh mengenai penggunaan
garam dalam masakan, ramai merujuk kepada serbuk putih digunakan di
dapur. Tapi mereka tidak sedar sebenarnya makanan diproses dan sos atau
perencah penambah rasa turut mempunyai kandungan garam tinggi.
“Tidak dinafikan pengambilan bahan perasa seperti kicap soya, budu, sos
tiram, lada hitam dapat membangkitkan selera, namun perlu diingatkan
penyakit berbahaya seperti serangan jantung atau angin ahmar tidak
memberikan sebarang isyarat sebelum komplikasi.
“Lebih
membimbangkan, penyakit jantung juga dilaporkan punca utama kemasukan
pesakit ke hospital bahkan menjadi menyumbang terbesar kepada kes
kematian,” jelasnya dihubungi, baru-baru ini.
Elak gejala berbahayaDr
Feisul memberitahu kebiasaan ‘lidah’ masyarakat Asia terhadap penambah
rasa dan masin sebenarnya boleh dibentuk jika mengamalkan selera ‘Less
Salt Please’ dan menjadikan kekurangan garam sebagai rutin harian
mereka.
Walaupun Kementerian Kesihatan sedang berusaha merangka
strategi pengurangan garam untuk rakyat tetapi ia perlu lahir daripada
semangat dan kefahaman masyarakat sendiri dalam mengurus corak
pengambilan garam.
“Satu kajian rintis mengenai pengambilan
garam dengan menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam,
tahun lalu menunjukkan kandungan purata pengambilan garam ialah 8.7
gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan WHO.
“Dalam kajian sama, mendapati sos kicap soya adalah makanan utama yang
menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi. Lelaki juga didapati
mengambil lebih banyak garam berbanding wanita.
“Ini memberikan
gambaran bagaimanapun pula pengambilan dan pengetahuan mengenai garam
tersembunyi dalam kalangan umum” jelasnya.
INFO
- WHO menetapkan 7 April sebagai Hari Kesihatan Sedunia.
- Tema 2013- Tekanan Darah Tinggi dan memfokuskan mengenai kesedaran mengurangkan kadar serangan jantung dan angin ahmar.
-
Kira-kira 32.7 peratus (5.8 juta) rakyat Malaysia dewasa berumur 18
tahun dan ke atas kini dianggarkan menghidap penyakit hipertensi dan
perkara ini semakin meningkat sejak 2006.
- Pertubuhan
World Action On Salt and Health (WASH) menetapkan 11 Mac hingga 17 Mac
sebagai Minggu Kesedaran Garam Sedunia Ke-6 dengan bertemakan “Less Salt
Please”.
- Kempen itu ditujukan khusus buat industri
makanan, katering, pengusaha atau pengendali makanan (chef), tukang
masak di restoran, kafeteria, gerai, restoran makanan segera dan
sebagainya
* Pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan hipertensi.
-
Tabiat kurang pengambilan sayuran, buah ditambah dengan peningkatan
pengambilan alkohol, kurang aktiviti fizikal serta obesiti menjadikan
keadaan lebih teruk.
- Sejak 2011 hingga 2012, ada 16
jenis makanan dikurangkan kandungan garam iaitu biskut, kicap, mi
segera, makanan ringan dan daging beku.
- Jumlah penurunan garam adalah sebanyak 2 peratus hingga 40 peratus daripada tahap asal dan ini adalah amat menggalakkan.
Amalkan langkah-langkah berikut:
-
Lakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin. Sasarkan tekanan darah (BP)
anda pada paras optimum iaitu 120/80 milimeter merkuri (mmHg) atau
kurang;
- Hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari atau 5 gram (g) sehari.
- Kurangkan penggunaan garam semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan
-
Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk
menambah perisa berbanding garam, sos atau penambah perisa lain
- Kurangkan pengambilan makanan terproses, segera, diawet, diasin, ditinkan, dibotolkan atau dijeruk
- Ambil dua sajian buah dan tiga sajian sayur sehari
- Amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan
- Pupuk minda sihat, tangani tekanan, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.