PUTRAJAYA, 11 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sektor awam di negara ini menjadi satu perkhidmatan yang profesional sepenuhnya tanpa kecenderungan politik.
Perdana Menteri berkata ini membolehkan penjawat awam menyokong serta menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh kerajaan yang dipilih rakyat.
"Ini satu prinsip yang suci dalam negara kita jika hendak negara kita mencapai kejayaan demi kejayaan.
"Tidak kira apa jua pendapat peribadi, kita mesti berpegang kukuh dan teguh kepada perkhidmawatan awam yang profesional sepenuhnya," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini, pada hari Isnin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Pengerusi SPA Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.
Najib berkata penjawat awam juga mesti berani tampil ke hadapan dan berada di kelok pembaharuan dalam menggalas transformasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara moden yang lebih disenangi.
Beliau berkata transformasi itu bukan bererti peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi daripada pelbagai aspek kehidupan masyarakat yang matang, tinggi tahap pendidikan dan nilai yang lebih kukuh.
"Hari ini kita berada pada abad ke-21 yang lebih mencabar jika dibandingkan pada masa lepas. Kita berdepan dengan pelaku-pelaku baru terhadap negara kita yang kini menjadi pesaing.
"Kita juga berdepan dengan tuntutan masyarakat kita yang lebih terdidik dan matang serta mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan," katanya.
Perdana Menteri juga mahu sektor awam bersikap lebih bersedia kepada cabaran masa kini yang lebih kompleks dan menghadapi persaingan daripada negara-negara yang dulunya tertutup tetapi kini bersikap lebih terbuka.
Dalam pada itu, Najib mahu penjawat berani membuat keputusan dan pelaksanaan secara pantas tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan awam.
"Pantas bukan bermaksud terburu-buru tetapi pantas dan tepat. Dulu saya ada dengar di hujung telinga, kalau orang awam hendak sesuatu, dengan segera respons kita kata tidak.
"Kalau hendak, biar mereka membuat rayuan tetapi sekarang cara itu sudah tidak sesuai lagi kerana masyarakat mempunyai harapan yang tinggi, mereka hendak kerajaan memberikan maklum balas," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Sijil MS ISO 9001:2008 SPA dan melancarkan Kaedah Pengambilan Secara Profiling (MyRecruitment) suruhanjaya berkenaan.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan