17 Februari 2010

Rahsia dalam solat


SOLAT menyimpan pelbagai rahsia yang belum dirungkai kerana kita menganggapnya sebagai ibadat yang wajib ke atas setiap umat Islam. Solat yang dilakukan dengan khusyuk, tawaduk akan membuahkan kenikmatan serta rahmat.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Masjid Umar Al-Khattab menganjurkan seminar Solat dari Perspektif Sains di Bukit Damansara.

Seminar yang dianjurkan itu mengumpulkan 200 peserta terdiri daripada saudara Muslim, mualaf dan penduduk setempat. Pengarah program, Mohd Mustaqiim Asmuji, berkata program terbabit memberi pengetahuan kepada peserta cara dan kaedah menyempurnakan solat dengan pergerakan serta posisi badan betul. "Ia mendedahkan peserta mengenai kepentingan penjagaan kesihatan melalui solat serta dibuktikan melalui alatan digunakan dalam kajian.

"Pergerakan seperti mengangkat tangan ketika niat takbiratul ihram, sujud, rukuk dan iktidal sehingga memberi salam mempunyai rahsia sama seperti senaman," katanya. Beliau berkata program itu menyelidiki hikmah dan kesan terapeutik perubatan daripada pergerakan ibadat solat yang sempurna kepada kesihatan manusia. "Solat adalah gerak kerja fizikal unik dan jika dilaksanakan secara berterusan ia dapat memelihara kesinambungan sistem fisiologikal manusia yang meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi. "Peserta diberikan latihan melakukan teknik pergerakan solat yang betul dalam 13 rukun sembahyang," katanya. Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata komposisi badan ketika rukuk, berdiri tegak, sujud, duduk antara dua sujud, tahyat dan salam menghasilkan keputusan rawatan pada otot, pelancaran aliran darah, membantu proses mengepam jantung dan melancarkan aliran darah ke otak.

"Solat dan puasa umpama senaman dan diet yang baik kerana aktiviti berkenaan boleh menurunkan kadar kolesterol dalam badan serta mengelak penyakit jantung. "Contohnya sujud, amalan ini mampu memberikan posisi terbaik bagi kesihatan jantung kerana darah akan mengalir lancar ke otak menjadikan ia lebih sihat dan cergas. Kajian membuktikan kadar denyutan jantung adalah paling rendah pada kedudukan sujud kerana nada jantung," katanya. Selain itu, beliau berkata pergerakan solat boleh digunakan sebagai rawatan pemulihan alternatif bagi menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang.


"Solat bukan saja baik kepada pesakit pinggang kronik, tetapi ia juga disyorkan kepada wanita mengandung selain dapat melancarkan perjalanan darah di sekitar otot lantai pelvik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT