09 Mac 2010

Kekal Aktif Walaupun Sudah Berusia


TUA sememangnya tidak boleh dielak tetapi persediaan menghadapi proses penuaan sepatutnya bermula sejak muda.


SEBUT saja perkataan tua, tergambar di fikiran kita kelibat lelaki atau wanita yang uzur, berpenyakit dan tidak mampu untuk melakukan kegiatan secara aktif. Bagi kebanyakan orang, tua bermakna penamat segala-galanya terutama dari sudut aktiviti fizikal termasuk seksual.

Tua juga diumpamakan hanya menunggu ajal dan sering disisihkan. Ini kerana istilah tua dikaitkan terus dengan penampilan tidak menarik, kendur, kedut, kerepot dan klimaksnya nyanyuk.

Malah lebih menyedihkan apabila caruman atau wang pencen hasil penat lelah semasa bekerja terpaksa dilaburkan untuk merawat pelbagai penyakit kronik yang mendatang ketika tua.

Datuk Dr. Hassan Yaacob menarik perhatian mengenai penuaan dan persepsi yang silap mengenainya terutama di kalangan rakyat Malaysia. Ketika ditemui beliau membangkitkan satu persoalan menarik iaitu mampukah manusia hidup sehingga usia 150 tahun?

Semestinya jawapannya mustahil. Terutamanya untuk hidup pada usia itu dalam keadaan mental serta fizikal yang masih boleh diharapkan. Biarpun hakikatnya ramai yang mahu hidup lama untuk menambah amal ibadat dan menebus dosa-dosa lama.

Dr. Hassan yang juga Profesor Pelawat di Res Institute for Traditional Medicine Toyama Med & Pharm University, Japan menegaskan, mengikut kajian, manusia sememangnya mampu menjangkau usia lebih panjang dalam keadaan sihat mental dan fizikal.

Pengalaman

Beliau berkongsi pengalaman menetap di sebuah perkampungan di Toyama, Jepun. Kekagumannya terserlah melihat warga tua pada usia 70 dan 80 tahun masih gigih mengusahakan sawah dan ladang. Kudrat dan penampilan wajah mereka tidak membayangkan usia.

"Masyarakat di sana mengamalkan gaya hidup berkualiti, tua sememangnya tidak boleh dielak tetapi persediaan menghadapi proses penuaan sepatutnya bermula sejak muda.

''Itu kekurangan dalam masyarakat kita terutama orang Melayu. Apabila usia meningkat, kita tidak peduli lagi tentang penjagaan diri, malas bersenam, tidak menjaga makan sehingga menjejaskan penampilan diri,'' ujar Dr. Hassan yang juga Pengerusi Eksekutif Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kajian pakar perubatan menunjukkan usia 40-an adalah peringkat umur di mana sifat keremajaan seseorang mula hilang sekali gus membuka tirai penuaan.

Bermula dari peringkat itu, proses yang sepatutnya berlaku adalah tidak membiarkan penuaan merosakkan diri seseorang sebaliknya pergerakan jam biologi itu mesti diterima secara positif.

Dalam erti kata lain, kepekaan terhadap kemerosotan kesihatan akibat penuaan boleh ditunda dan dihalang seperti mana penemuan pakar awet muda di Amerika Syarikat (AS).

Dr. Hassan yang terkenal dengan produk kesihatan berasaskan ekstrak gamat menggariskan lima faktor penentu muda atau tua seseorang bukan dari sudut usia.

l Sistem imunisasi semakin merosot

l Fungsi memori dan kognitif menurun

l Struktur otot sukar dibentuk semula dan jumlah lemak dalam badan bertambah

l Aktiviti seksual semakin berkurangan

l Kadar penyembuhan luka semakin lambat

Langkah memastikan kesemua faktor itu diterbalikkan mesti menjadi perhatian manusia yang ingin melalui usia tua secara aktif dan sihat.

Masyarakat Malaysia terutama orang Melayu mesti menukar kepercayaan bahawa tua penamat segala-galanya. Sebaliknya usia emas mesti dimanfaatkan sepenuhnya termasuk mengisi peluang melihat alam ciptaan Allah.

Amalan itu jelas dipraktikkan di kalangan masyarakat Eropah, Jepun dan Korea. Adalah pemandangan biasa pasangan warga tua dari negara-negara tersebut mengisi usia tua dengan aktiviti pelancongan.

Jika mereka boleh, mengapa kita tidak. Yang penting betulkan persepsi mengenai penuaan dan tingkatkan pengambilan suplemen kesihatan yang mampu merejuvanasi sistem sel-sel badan.


- Sumber dari Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT