13 April 2010

Jangan Ambil Mudah Penyakit Cacar Air

Ibu bapa perlu membuang sikap ambil mudah terhadap penyakit cacar air atau 'chickenpox', penyakit yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak kerana ia merupakan salah satu kombinasi penyakit berjangkit yang amat serius.

Doktor Pakar Kanak-kanak Datuk Dr Musa Nohd Nordin berkata gabungan empat penyakit iaitu demam campak, beguk, rubella dan cacar air boleh menggugat kesihatan berjuta individu di seluruh dunia selain penderitaan yang terpaksa ditanggung.

"Ramai orang yang berpendapat bahawa cacar air adalah sejenis penyakit ringan di kalangan kanak-kanak tetapi beban penyakit itu dalam erti kata penderitaan dan ketinggalan waktu di sekolah bagi seorang kanak-kanak, waktu kerja ibu-bapa dan kos serta kembimbangan menguruskan kes yang teruk amatlah tinggi," katanya selepas pelancaran vaksin kombinasi baru demam campak, beguk, rubella dan cacar air, Priorix Tetra di sini, Selasa.

Beliau sebelum itu memperkenalkan Priorix Tetra dari GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK), sejenis vaksin baru yang memberikan perlindungan yang lebih mudah terhadap campak, beguk, rubella dan cacar air tanpa kesusahan bagi suntikan tambahan untuk kanak-kanak antara sembilan bulan dan 12 tahun.

Ia menggabungkan vaksin cacar air dengan dua dos mandatori yang diperlukan untuk demam campak, beguk dan rubella (MMR) bagi perlindungan yang lebih baik dan berterusan untuk menentang cacar air.

Katanya vaksin MMR sedia ada adalah vaksin wajib yang tersenarai dalam Program Imunisasi Tambahan Malaysia (EPI) sejak 2002. Ia diberikan kepada kanak-kanak dalam dua dos, sekali pada usia 12 bulan dan yang kedua pada usia tujuh tahun.

"Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibu bapa dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat penyakit sekaligus," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT