1. Meninggalkan sarapan pagi
Sarapan pagi amat penting untuk membekalkan tenaga. Anda memerlukan tenaga bagi menghadapi hari yang panjang; memberi tumpuan kepada kerja, berdepan tekanan serta melakukan pelbagai aktiviti fizikal lain. Tanpa bekalan tenaga daripada sarapan pagi yang baik, anda pasti mudah letih dan tidak bermaya.
2. Makan terlalu banyak
Anda perlu makan, tetapi bersederhanalah. Terlalu banyak makan bukan sahaja akan membawa kesan dari sudut fizikal tetapi juga kesihatan. Jika makan banyak menjadi tabiat, besar kemungkinan anda akan menghadapi masalah berat badan berlebihan, atau lebih buruk, obesiti. Perut buncit dan tubuh yang dibaluti terlalu banyak lemak bukan sahaja menjejaskan penampilan tetapi juga berisiko tinggi kepada pelbagai penyakit.
3. Mengambil terlalu banyak lemak, garam dan gula
Jika pun anda tidak makan banyak, awasi makanan yang anda ambil setiap hari. Makanan bergoreng dan mengandungi kandungan lemak, garam serta gula yang tinggi tidak baik untuk kesihatan. Ingatlah, penyakit-penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis saling berkait. Awasi pengambilan makanan yang mengandungi bahan-bahan ini, kurangkan sedikit demi sedikit, dan belajar menikmati makanan tanpanya.
4. Makan dan mengambil snek ketika melakukan kerja
Tabiat ini akan menyebabkan anda makan berlebihan, dan akhirnya menambahkan berat badan. Cuba fikirkan kembali, apabila anda makan sambil melakukan kerja, anda tidak sedar banyak mana makanan atau snek sudah anda kunyah. Anda makan secara 'mekanikal' dan sering kali juga sukar untuk berhenti mengunyah!
5. Makan sebelum tidur
Tubuh berehat apabila kita tidur, tetapi apabila anda makan sebaik sebelum tidur, perut akan terus bekerja dan proses 'mengosongkan' perut menjadi lebih perlahan.
6. Kurang makan sayur dan buah-buahan
Jangan makan hanya sekadar untuk kenyang. Fikirkan juga khasiat makanan yang dijamah. Anda memerlukan pelbagai nutrien yang boleh didapati daripada buah-buahan dan sayur-sayuran untuk lebih sihat.
7. Tidak minum air kosong mencukupi
Air amat penting untuk kekal sihat. Jika anda kurang minum air dalam sehari, ia boleh mengurangkan kadar metabolisma. Air amat diperlukan tubuh kita dalam semua fungsi metaboliknya, termasuk untuk membakar kalori. Jadi minumlah lebih banyak air!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan