23 September 2010

TAHUKAH ANDA : Muzium Padi ( Tambahan Maklumat )


KOMBINASI seni bina muzium dan persekitarannya terjalin dengan cemerlang.


POKOK padi pastinya sinonim dengan kehidupan masyarakat di banyak negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Walaupun ditanam di beberapa buah negeri, padi menjadi penghias landskap terbesar di kawasan utara tanah air khususnya di Kedah. Saujana bak hamparan permaidani luas, tumbuhan yang membuahkan makanan ruji itu sudah lama menjadi identiti bumi Darul Aman.

Terletak di Gunung Kerian iaitu lapan kilometer dari Alor Setar, sebuah muzium telah didedikasikan kepada tumbuhan dan aktiviti yang terlibat dalam pemprosesannya.

Menjadi kebanggan negeri yang terkenal dengan jolokan nama Jelapang Padi Malaysia itu, Muzium Padi telah dirasmikan pada 12 Oktober 2004 oleh Tunku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Ia adalah satu-satunya muzium seumpama itu di Malaysia dan keempat di dunia.

Dari jauh, bangunan tiga tingkat itu kelihatan seakan demai padi iaitu batang-batang padi yang diikat bersama selain motif pokok padi yang terdapat pada keseluruhan bangunan.


DARI atas pelantar berputar, pengunjung dapat menyaksikan panorama hidup masyarakat setempat dan jelapang padi yang mendamaikan.


Di dalam ruang muzium yang berkeluasan 12,000 meter persegi itu, pengunjung diberi pendedahan secara visual mengenai sejarah kaedah penanaman padi di Malaysia.

Pengunjung juga dapat melihat keseluruhan proses berperingkat dari penyemaian benih di bendang sawah, proses menuai, pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pembungkusan hinggalah kepada ia disajikan sebagai nasi di meja makan.

Dengan pembinaannya yang menelan kos sebanyak RM11 juta, bangunan itu juga mengandungi sebuah pelantar berputar yang memberi panorama cara hidup dan pemandangan di jelapang padi tersebut.

Pada mural yang menghiasi dinding seluas 103 meter dan berketinggian lapan meter di tingkat dua, segala kisah penyelidikan dan maklumat mengenai tumbuhan dengan nama saintifik Oryza sativa itu boleh diperolehi di situ.

Mudah sahaja untuk sampai ke bangunan yang berona keemasan itu. Pengunjung dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) perlu keluar pada susur Alor Setar Utara dan mengikut arahan papan tanda ke Muzium Padi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT