LONDON – Manchester City sedia membuat tawaran perpindahan paling mahal dalam sejarah bola sepak dengan pakej berjumlah £100 juta (RM493 juta) bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.
Penyerang England itu telah memaklumkan kepada United tentang niatnya yang enggan menyambung kontrak baru selepas perselisihan faham dengan pengurus, Alex Ferguson.
City kini bersedia mengambil kesempatan di atas masalah yang sedang melanda kelab Old Trafford itu.
Kelab Eastlands itu dikatakan merancang mengemukakan pakej perpindahan yang bakal menyaksikan mereka membayar United £50 juta (RM246.3 juta) ke atas Rooney dengan tambahan £50 juta (RM246.3 juta) bagi membayar gaji penyerang tersebut yang masih ada baki kontrak selama empat tahun lagi di United.
City juga sanggup menjadikan Rooney sebagai pemain yang menerima bayaran termahal dalam Liga Perdana England dengan gaji mencecah £250,000 (RM1.2 juta) seminggu atau £13 juta (RM64 juta) setahun.
Malah, Rooney yang semakin tidak gembira dengan kehidupannya di Old Trafford juga dikatakan bersedia menerima tawaran perpindahan paling kontroversi itu yang melibatkan dua kelab di Manchester.
Real Madrid telah menafikan yang mereka berminat membeli Rooney apabila musim perpindahan
dibuka Januari depan, manakala Barcelona pula tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk mendapatkan penyerang berusia 24 tahun itu.
Rooney meninggalkan Everton ketika berusia 20 tahun untuk menyertai United pada musim 2004 dengan yuran perpindahan berjumlah £25.6 juta (RM126 juta). – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan