|
ARTIS jelita bernama Rozita Che Wan sudah seringkali dikaitkan kontroversi bercinta, baik dengan kerabat diraja mahupun orang kenamaan. Mengungkap kisah lalu, Rozita atau lebih mesra dipanggil Ita, 37, kononnya ingin berkahwin dan menamatkan perjalanan seninya.
Dia dikatakan bakal bersara daripada dunia lakonan pada tahun depan selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang kini mendampingi dirinya.
Peluang berdepan dengan seraut wajah manis itu pada majlis acara Peek-A-Boo Restyled Party di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja.
Terus sahaja persoalan tentang perkara itu ditebak sebaik mungkin, andai kalau-kalau jelitawan itu mahu mengkhabarkan pula tentang tarikh perkahwinannya itu.
Melebarkan senyuman pada bibirnya sambil disusuli ketawa kecil, figura yang tampak anggun menggayakan gaun ungu pada petang itu menyatakan dia sememangnya masih belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumahtangga buat masa ini.
Sibuk dengan jadual lakonan hariannya, bekas peragawati itu menegaskan dia tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal untuk berkahwin semula.
Rozita mengakui tentang kisah dirinya yang dikatakan mempunyai teman istimewa selama ini namun, dia menjelaskan sememangnya dia masih berkawan baik dengan lelaki tersebut.
“Jika saya kahwin, pastinya saya akan menjemput anda semua ke majlis saya,” ujarnya ramah.
Tambah Rozita dalam nada tegas: “Saya memang ingin berhenti berlakon pada tahun hadapan, tetapi bukan kerana mahu berkahwin tetapi kerana mahu menceburi bisnes.”
Menurutnya, bermula pada Januari, 2011 dia tidak lagi akan meneruskan kerjaya lakonannya. Bagi dirinya, sudah cukup empat tahun dia berkecimpung dan memerah tenaga dalam bidang yang penuh dengan pancaroba itu.
“Kerjaya lakonan saya akan berakhir pada bulan Januari tahun depan dan saya ingin berehat serta memberi konsentrasi terhadap perniagaan yang ingin saya mulakan itu,” tutur Rozita dalam nada yang lembut.
Cara Curi Jodoh
Pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut mengakui pengalaman daripada perkahwinannya yang terdahulu banyak memberi pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa depan.
|
|
Sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai dua cahaya mata, Rozita menegaskan dia harus berhati-hati dalam memilih pasangan baru dalam alam rumah tangga. Anak-anak diutamakan dalam segala keputusan yang dibuat Rozita.
“Saya harus pilih bakal suami yang dapat menerima dan menyayangi anak-anak saya. Mereka adalah keutamaan saya walau apa pun keputusan yang dibuat,” jelas Rozita agak serius apabila berbicara mengenai permata hatinya itu.
Walaupun masih lagi menerima jemputan berlakon untuk filem dan drama, pelawaan itu ditolak kerana dia sememangnya sudah nekad dengan keputusan yang dibuatnya.
Dalam tempoh sebelum Januari, 2011 menjelma, jelitawan bermata bundar itu kini sedang sibuk menghabiskan sisa penggambaran produksi lakonannya.
Pertama kali namanya dijulang adalah menerusi drama Sesuci Cinta Sofea yang disiarkan di saluran TV3 beberapa tahun dahulu. Sejak itu, tidak putus rezeki yang diterimanya dalam bidang ini. Boleh dikatakan hampir kesemua watak pernah dibawa oleh Rozita.
Rozita bagaimanapun mengakui watak komedi lebih senang dilakonkan berbanding watak serius.
“Saya lebih gemar melakonkan watak komedi sekarang kerana ia lebih menampilkan diri saya yang sebenar. Saya rasa lebih bebas mengekspresikan diri berbanding watak yang lebih serius,” kata Rozita yang gemar menggunakan loghat utara ketika berbicara.
Selepas filem komedi 4 Madu, Rozita dilamar sekali lagi untuk melakonkan watak komedi oleh Prof. Hatta Hazad Khan untuk drama berjudul Cari Curi Jodoh.
Bercerita mengenai tawaran watak komedi yang diterima, ujar Rozita: “Sejak akhir-akhir ini, genre komedi mempunyai permintaan yang tinggi daripada stesen-stesen TV.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan