GUANGZHOU - Skuad bola sepak kebangsaan memulakan langkah kanan pada kempen Sukan Asia 2010 setelah berjaya menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Huadu di sini petang semalam.
Dua pemain Kelantan, Nor- shahrul Idlan Talaha dan S. Chanturu masing-masing meledak gol pada minit ke-27 dan 59 manakala jaringan tunggal Kyrgyzstan dihasilkan Sydykov minit ke-37.
Bagi jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal, kesungguhan para pemainnya beraksi sepenuh hati bagi mengelak pasukan lawan mencuri satu mata membuatkan mereka sememangnya layak untuk meraih kemenangan tersebut.
"Saya akui ini satu perlawanan yang sukar kerana kami terpaksa berdepan lawan yang berfizikal tinggi. Tetapi kami bermula baik pada separuh masa pertama dan sepa- tutnya sudah boleh mendahului 2-0.
"Namun kami dibolosi dengan gol yang agak mudah sehingga menyebabkan pasukan lawan mula memberi tekanan kepada kami.
"Ketika rehat, saya beritahu para pemain supaya lebih agresif pada separuh masa kedua. Biarpun kita bermula perlahan pada 15 minit awal babak kedua, selepas mendapat gol kedua kami makin yakin.
"Jadi saya rasa kami layak untuk menang kerana Kyrgyzstan bukan lawan yang mudah. Para pemain telah beraksi dengan baik dan beri sepenuh komitmen," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan.
Norshahrul membuka tirai jaringan Malaysia pada minit ke- 27 setelah dia berjaya merembat masuk bola lorongan S. Kunanlan dari sebelah kiri.
Namun 10 minit kemudian, kelekaan barisan pertahanan Malaysia dihukum Sydykov yang bertindak solo sebelum merembat lencong ke penjuru kanan gawang tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit ke-44, Kyrgyzstan nyaris mendahului tetap Khairul Fahmi bertindak cemerlang menepis rembatan Murzaev ketika situasi satu lawan satu.
Akhirnya Chanturu muncul wira skuad kebangsaan apabila merembat kencang gol kedua pada minit ke-59 ketika keadaan kelam-kabut di hadapan gawang Kyrgyzstan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan