13 Disember 2010

Blackie kucing paling tua di Britain


BLACKIE

LONDON - Pada usia mencecah 24 tahun, seekor kucing yang diberi nama Blackie dilihat masih kuat dan menjadi calon utama untuk gelaran kucing paling tua di Britain, lapor sebuah akhbar kelmarin.

"Saya memeliharanya sejak ia berusia hanya beberapa minggu. Ketika itu saya berumur 25 tahun. Ia mempunyai satu bintik hitam di bahagian kepalanya," kata pemilik Blackie, Quentin Shaw, 49.

Blackie kini tidak lagi mampu menangkap tikus dan matanya tidak dapat melihat jika ia berada dalam bilik gelap.

Bakal menyambut ulang tahun ke-24 pada Januari depan, usianya bersamaan dengan 118 tahun umur manusia.

Blackie tinggal bersama keluarga Shaw, di Thurnby, Leicestershire.

"Saya fikir apabila haiwan menerima kasih sayang, mereka akan hidup lebih lama," kata Kim Lanham yang merupakan tunang Shaw.

Seorang pegawai dari Guinness Book of Records, Damian Field berkata: "Buat masa sekarang, tidak ada pemegang gelaran kucing paling tua di Britain. Jadi, kami amat berminat untuk mendengar sesuatu daripada pemilik Blackie."

Kucing paling tua terakhir ialah Hestia yang mati pada September lalu di Cheshire pada usia 21 tahun dan 11 bulan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT