14 Disember 2010

Lancar Kacamata 3D Aktif


PENONTON boleh menonton filem kesukaan masing-masing dengan lebih jitu dengan Kacamata 3D Aktif.


FILEM tiga dimensi (3D) kini menjadi pilihan masyarakat yang gemar meluangkan masa menonton di pawagam. Tidak dapat dinafikan, semakin banyak penggarap filem yang gemar mentransformasi filem mereka dengan mengaplikasikan teknologi ini.

Berbeza dengan pengalaman menonton filem tiga dimensi (3D) di rangkaian pawagam lain di Malaysia, kini BIG Cinemas Lotus Five Star (BIG Cinemas) telah melancarkan teknologi 3D terunggul dengan kombinasi Active 3D Glasses atau Kacamata Aktif 3D dan projektor digital dengan kemampuan peningkatan tahap kejelasan imej 3D sehingga mencecah 4K.

Baru-baru ini, BIG Cinemas Lotus Five Star telah membuka tirai teknologi ini bermula dengan penayangan filem animasi Rapunzel: A Tangled Tale 3D di salah satu lokasinya, Brem Mall, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.

Seramai 50 pelanggan pertama yang bertuah dapat menebus pas menonton dan merasai pengalaman menonton menerusi teknologi tersebut.

Mereka juga merupakan antara para pelanggan pertama yang akan menyaksikan teknologi 3D futuristik yang dibawakan khas oleh BIG Cinemas Lotus Five Star.

Selain Brem Mall, Kepong pengalaman 3D Aktif ini boleh didapati menerusi 10 paparan lain pawagam BIG Cinemas yang termasuklah di Taiping Sentral Mall, Kulim Landmark Shopping Mall, Batu Pahat Mall dan Kluang Mall.


ALAMI keseronokan baru dengan teknologi Kacamata 3D Aktif, hanya di rangkaian pawagam BIG Cinemas.


“Tidak seperti Kacamata 3D pasif yang sering didapati di Malaysia, siri Kacamata Active 3D Glasses menggunakan teknologi shutter elektronik yang meningkatkan keterangan imej sebanyak 15 peratus,” jelas pengurus pemasaran BIG Cinemas Lotus Five Star, Eliza Kow.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi flash resolusi 2k untuk imej 3D lebih realistik dan terang. Dengan mengaplikasikan teknologi terbaru ini, visual yang ditonton jelas tidak kira sama ada penonton berada di bahagian belakang, tengah mahupun di barisan hadapan kerusi penonton di dalam pawagam.

“Teknologi pawagam semakin meningkat, dari tayangan hitam dan putih, kita sekarang dapat menikmati wayang dalam resolusi tinggi dan dalam persembahan 3D. Kini dengan teknologi inovasi baru pengalaman sinematik dipertingkatkan ke tahap yang lebih hebat,” kata Ketua Pegawai Operasi BIG Cinemas Lotus Five Star, Preetham Rebello.

Walaupun menggunakan teknologi terbaru 3D, BIG Cinemas masih menjual tiket bagi filem 3D pada harga yang kompetitif, iaitu harga tiket dicampur dengan penambahan RM5 untuk penyewaan Kacamata 3D Aktif.

BIG Cinemas merupakan rangkaian pawagam terbesar di India dengan 540 skrin di seluruh India, Amerika Syarikat, Nepal dan Netherlands, menjangkau sehingga 35 juta pelanggan yang semakin meningkat dalam kepesatan Malaysia.

Di Malaysia, syarikat ini mempunyai 72 skrin yang menayangkan filem dari Hollywood selain penayangan karya dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan asing, seperti Thai serta Korea, untuk memenuhi populasi Malaysia yang menjangkau 28.96 juta.

Memahami kesibukan masyarakat Malaysia kini dan mungkin juga kepada individu yang punyai masa terhad tetapi masih ingin berhibur, BIG Cinemas telah memperkenalkan dua aplikasi bagi kemudahan pelanggannya bagi pengurusan pembelian tiket. BIGCinemasMobile dan Print@Home akan memudahkan pelanggan untuk mendapatkan walau apa situasi dan lokasi mereka.

Menawarkan perkhidmatan BIGCinemasMobile, penonton boleh mengakses perkhidmatan tempahan tiket Box Office di kesemua pawagam BIG Cinemas melalui telefon bimbit seperti memeriksa jadual tayangan, tempahan tempat duduk dan tiket, sebelum mengambil tiket di kaunter, sejam sebelum tayangan.


KACAMATA 3D Aktif ini berharga RM200 sepasang.


Pengguna juga boleh merujuk ’Booking History’, untuk transaksi yang lalu. Aplikasi BIGCinemasMobile boleh dimuat turun dari http://m.bigcinemas.com untuk semua telefon bimbit yang beroperasi berlandaskan aplikasi Java dengan GPRS, EDGE atau perkhidmatan 3G.

Bagi aplikasi Print@Home pula, pelanggan yang membuat pembelian tiket melalui internet boleh terus masuk ke pawagam tanpa beratur panjang di kaunter tiket. Perkhidmatan ini boleh didapati di laman web BIG Cinemas.

“Sekarang, sesiapa saja mampu untuk membeli dan mencetak tiket sendiri di rumah dengan mengikuti beberapa langkah mudah,” jelas Eliza mengenai perkhidmatan eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai BIG Cinemas dan juga aplikasi digital terbaru, sila layari www.bigcinemas.com atau sertai Facebook merek di http://facebook.com/ BigCinemasMalaysia untuk maklumat terkini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT