RADIO Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perlawanan dijangka bermula pada pukul 8 malam.
“Kita telah mendapat pemerhatian awam bahawa ini bukan pertandingan bola sepak biasa, ini pertandingan yang mendapat perhatian nusantara, sebab itu kami berusaha untuk membuat siaran langsung,” katanya selepas melancarkan program Istana Budaya (IB) 2011 di Kuala Lumpur semalam.
Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.
Pada aksi separuh akhir lalu, RTM menyiarkan siaran langsung lewat 30 minit selepas permainan berlangsung dan ini menimbulkan perasaan kurang senang peminat bola sepak tempatan.
Pertandingan akhir pusingan kedua akan berlangsung di Jakarta pada Rabu depan.
Begitupun, penyokong diharap terus memenuhi Stadium Nasional di Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad muda negara menghadapi Indonesia.
Indonesia perlu diberi pengajaran selepas menewaskan skuad bimbingan K. Rajagobal itu 1-5 pada perlawanan peringkat kumpulan 1 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan