NEW YORK - Seorang janda, Barbara Picower akan memulangkan semula lebih AS$7 bilion (RM22.56 bilion) kepada mangsa-mangsa penipuan skim cepat kaya anjuran pelabur terkena yang kini dipenjarakan selama 150 tahun, Bernie Madoff.
Wang yang akan dipulangkan itu adalah milik suaminya, Jeffrey Picower yang telah meninggal dunia kerana serangan jantung di tepi kolam renang di rumah miliknya di pantai Palm, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 2009 semasa berumur 67 tahun.
Sebelum meninggal dunia, Jeffrey melabur dalam skim cepat kaya itu selama beberapa tahun dan memperoleh pulangan lumayan.
Namun, ekoran kematian Jeffrey, aset dan harta miliknya diwariskan kepada Barbara.
Peguam Bagi Daerah Selatan New York, Preet Bharara berkata: "Penyelesaian ini mewakili pemulangan kembali rampasan terbesar dalam sejarah AS."
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar mengenai pemulangan semula wang yang telah dilaburkan itu di sini pada Jumaat lalu.
Setakat ini, pemegang amanah yang dilantik mahkamah, Irving Picard hanya memperoleh semula wang yang telah dilaburkan Madoff sebanyak AS$1.55 bilion (RM4.85 bilion) sedangkan dia dipercayai pendakwa raya mengambil wang para pelabur sebanyak AS$65 bilion (RM203.74 bilion).
Pemulangan wang yang dilakukan janda kaya itu mungkin akan menyebabkan mangsa-mangsa penipuan skim cepat kaya anjuran Madoff mendapat sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah wang yang telah dilaburkan mereka.
Selama bertahun-tahun, Madoff menggunakan wang pelabur baru untuk membayar dividen kepada pelabur lama.
Namun, ekoran krisis kewangan yang menyebabkan harga saham merudum pada 2009, Madoff terpaksa membuat pengakuan bahawa skim pelaburannya adalah skim cepat kaya.
Madoff mengaku bersalah pada tahun lalu kerana mewujudkan skim cepat kaya yang paling besar di dunia menyebabkan dia dihukum 150 tahun penjara. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan