31 Januari 2011

Jepun Juara Piala Asia 2011


Pemain-pemain Jepun meraikan kejayaan menjuarai Piala Asia selepas menewaskan Australia 1-0 pada perlawanan akhir di Doha, kelmarin. - AFP

DOHA - Penjaga gol Jepun, Eiji Kawashima memberitahu bahawa keazaman dan kekuatan mental menjadi resipi kejayaan buat pasukannya menewaskan Australia 1-0 pada masa tambahan perlawanan akhir Piala Asia, kelmarin.

Kejayaan tersebut adalah kejuaraan buat kali keempat skuad Blue Samurai dalam Piala Asia selepas 1992, 2000, 2004 dan 2011.

Gol kemenangan Jepun diperoleh menerusi Tadanari Lee, pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol sehingga tamat perlawanan 90-minit.

Pada perlawanan, kelmarin Kawashima beraksi cemerlang terutama apabila berjaya menyelamatkan percubaan tepat pemain Australia, Harry Kewell pada minit ke-71 dan tandukan Robbie Kruse sewaktu masa tambahan.

''Apabila kami berlatih kami tahu perlawanan menentang Australia adalah perlawanan genting.

''Pasukan kami bermain dengan baik walaupun keletihan ketika perlawanan berlangsung. Saya cuba untuk membantu pasukan supaya kami dapat bangkit menewaskan mereka,'' kata Kawashima.

Tambah Kawashima, percubaan yang dilakukan oleh bahagian serangan Australia melalui pemain Kewell dan Tim Cahill amat mencabar, namun kekuatan mental dan fizikal pemain Jepun akhirnya berjaya menundukkan asakan tersebut.

''Mereka mempunyai kelebihan fizikal yang kuat namun itu tidak langsung menakutkan kami sewaktu perlawanan berlangsung,'' kata Kawashima.

Sementara itu, pemain tonggak Jepun, Keisuke Honda yang dinobatkan sebagai pemain paling bernilai, turut bangga dengan semangat yang dipamerkan oleh semua rakan-rakannya.

''Saya mahu tujukan anugerah ini kepada seluruh pemain pasukan Jepun dan seluruh pegawai yang terlibat kerana tanpa mereka kami tentu tidak berupaya memperoleh kejayaan sebegini.

''Australia bermain dengan corak permainan taktikal yang begitu sukar untuk kami ikut namun masalah itu dapat juga kami atasi,'' kata Honda.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Makoto Hasebe yang merupakan individu keempat menjulang trofi Piala Asia selepas Tetsuji Hashiratani (1992), Ryuzo Morioka (2000) dan Tsuneyasu Miyamoto (2004) berkata, pasukannya masih perlu melakukan yang lebih baik untuk meneruskan kejayaan.

''Pemain penyerang Australia mempunyai kelebihan jaringan melalui tandukan dan perkara itu kami cuba untuk atasi dengan meletakkan pemain-pemain kami di bahagian pertahanan dan serangan yang mampu menghalang sebarang percubaan pihak lawan.

''Ini adalah terlalu signifikan dengan memenangi kejuaraan pada usia pemain yang kebanyakan masih muda sekali gus pengalaman tersebut dapat digunakan meningkatkan prestasi pemain,'' kata Hasebe. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT