21 Februari 2011

Azizulhasni tak beraksi di Belanda


AZIZULHASNI berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Velodrom Manchester, London awal pagi semalam.

KORAT, Thailand - Semangat juang yang tinggi menjadi azimat buat jagoan negara, Mohd. Azizulhasni Awang untuk menamatkan saingan final acara keirin pada Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Velodrom Manchester, London awal pagi semalam.

Sekalipun betis kirinya tertusuk serpihan kayu velodrom selepas dia terjatuh akibat pelanggaran dengan empat lagi pelumba, Azizulhasni masih mampu bangkit dan kembali meneruskan perlumbaan yang menyaksikannya meraih pingat gangsa.

Ketika insiden malang itu berlaku, Azizulhasni terjatuh bersama empat lagi pelumba yang lain iaitu Jason Niblett dari Australia, Kamil Kuczynski (Poland), Edward Dawkins (New Zealand) dan Juan Peralta Gascon (Sepanyol) ketika mereka bersaing di selekoh terakhir.

Ternyata semangat kental yang ditunjukkan pelumba berusia 23 tahun ini telah memukau penonton yang hadir bagi menyaksikan acara yang cukup dinanti-nantikan itu yang dimenangi pelumba sensasi Britain, Chris Hoy.

Selepas insiden tersebut, Azizulhasni terus dikejarkan ke Hospital Manchester Royal Infirmary untuk mendapatkan rawatan dan difahamkan, dia akan menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan serpihan kayu kira-kira sepanjang 20 sentimeter itu.

Mengulas situasi terkini Azizulhasni, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab berkata, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Saya telah dimaklumkan oleh pengurus pasukan Malaysia (Datuk Naim Mohammad) bahawa Azizulhasni kini berada dalam keadaan stabil.

"Diharapkan berita ini dapat meredakan seketika pelbagai cerita yang kita dengan tentang Azizulhasni sebelum ini.

"Saya juga berharap semua peminat-peminat sukan di tanah air mendoakan Azizulhasni agar segera sembuh dan dapat kembali memperkuat skuad trek negara," jelas Abu Samah kepada Kosmo! semalam.

Sebelum berlepas ke Manchester pada Selasa lalu, Azizulhasni berjaya menyumbang dua pingat gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 di sini.

Dua pingat gangsa tersebut hadir menerusi acara kegemarannya iaitu keirin dan pecut individu.

"Saya berbangga kerana Azizulhasni tidak kenal erti putus asa dan terus berjuang hingga titisan keringat terakhir bagi memburu kejayaan.

"Sikap sebeginilah yang harus ada pada setiap pelumba-pelumba negara jika mereka mahu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

"Jangan kita mengalah sebelum berjuang. Saya berharap semangat juang yang ditunjukkan Azizulhasni menjadi ikutan oleh semua atlet di Malaysia khususnya pelumba-pelumba negara.

Azizulhasni yang lebih dikenali dengan gelaran The Pocketrocketman, kini merupakan pelumba No. 1 dalam acara keirin dan sedang memburu tiket untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, Azizulhasni berjaya meraih pingat emas dalam acara keirin.

Ekoran daripada kecederaan itu, Azizulhasni tidak akan bersaing dalam acara pecut berpasukan awal pagi tadi (awal pagi Isnin). Tempatnya digantikan oleh Hafiz Sufian. Dua lagi pelumba negara ialah Muhamad Edrus Md Yunos, Josiah Ng.

"Saya juga tidak tahu Azizulhasni terkena serpihan kayu itu sehinggalah dia menamatkan perlumbaan. Perkara ini cukup mengejutkan seluruh pegawai dan pelumba-pelumba Malaysia," kata ketua jurulatih, John Beasley.

Azizulhasni juga tidak akan bertanding pada kejohanan dunia di Apeldoorn, Belanda yang akan bermula pada 23 Mac depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT