11 Februari 2011

Lindsay Lohan dituduh mencuri di mahkamah


LINDSAY LOHAN memakai gaun pendek berwarna putih semasa tiba di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin.

LOS ANGELES - Selebriti terkenal, Lindsay Lohan kelmarin mengaku tidak bersalah di sebuah mahkamah atas tuduhan mencuri seutas rantai leher berharga AS$2,500 (RM7,611) milik sebuah butik aksesori di California.

Lohan tampil di mahkamah tersebut dengan memakai gaun pendek berwarna putih dan bercermin mata hitam.

Selebriti berusia 24 tahun itu bakal berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.

Dia didakwa membawa keluar rantai leher itu dari butik Kamofie & Company di Venice, California, pada Januari lalu tanpa membuat sebarang bayaran.

Namun, Lohan sudah memulangkan rantai leher tersebut kepada polis.

Insiden itu berlaku tiga minggu selepas Lohan menamatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan akibat mengalami masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Peguam selebriti itu, Chapman Holley memberitahu Lohan mengaku tidak bersalah dalam pendengaran kes tersebut.

Lohan yang kelihatan cukup tenang semasa memakai gaun berwarna putih mirip pelakon Sharon Stone dalam filem Basic Instinct dibebaskan dengan ikat jamin AS$20,000 (RM60,930).

"Kamu kini berada dalam satu situasi yang berbeza kini kerana satu dakwaan telah difailkan. Setiap orang perlu patuh pada undang-undang," kata Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Keith Schwartz.

Lohan memulakan kerjaya dalam bidang seni seawal usia 11 tahun apabila dia berlakon dalam filem keluaran Disney, The Parent Trap sebelum muncul dengan Freaky Friday dan Herbie Fully Loaded.

Beberapa rakan memberitahu bahawa pelakon filem Mean Girls itu pada mulanya menganggap bahawa rantai leher itu sebagai satu pinjaman daripada butik tersebut.

Dia akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada 23 Februari depan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT