Jika mahu tinggal di tempat-tempat itu beberapa hari, bekalan makanan sepanjang tempoh itu perlu difikirkan. Mana tidaknya, jika silap makan, anda dan keluarga, terutama anak-anak kecil akan berhadapan masalah cirit-birit atau diarea.
Penyebab utama diarea ialah minuman atau makan yang dijangkiti kuman kerana penyimpanan atau persediaan yang tidak sempurna. Tambahan cuaca negara kita yang panas menyebabkan makanan lebih cepat difermentasi atau menjadi masam.
Makanan yang mengandungi susu, gula dan kanji contohnya amat mudah difermantasi atau menjadi masam. Sebab itu, jika anda membawa susu untuk anak kecil, berhati-hatilah agar bayi tidak menghadapi cirit-birit.
Pastikan susu yang siap dibancuh dihabiskan pada masa itu juga dan tidak disimpan lebih daripada dua hingga empat jam. Adalah lebih baik anda membawa susu tepung dan air panas dalam termos agar susu anak boleh dibancuh apabila diperlukan. Jika begitu, anda juga perlu memastikan botol yang digunakan disimpan bersih dan tidak tercemar.
Nasi lemak (dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, timun, telur rebus, ikan bilis dan kangkung celur) serta sandwic (dengan telur, sardin, timun, tomato dan salad) menjadi bekalan kegemaran apabila beriadah di luar. Makanan ini baik kerana merupakan hidangan seimbang; ada karbohidrat, sayur, protein dan sebagainya.
Sungguhpun begitu, berhati-hati apabila membawanya. Asingkan bahan-bahan nasi lemak dalam bekas berasingan, dan jika anda menyediakan sandwic lengkap dari rumah, pastikan ia dimakan dalam masa dua hingga empat jam. Ingat, dalam cuaca panas makanan mikro organisme cepat membiak dan makanan mudah rosak.
Buah-buah juga elok dibawa kerana selain membekalkan zat vitamin C, B dan A, buah-buahan juga mengandungi air serta fiber bagi mengelak sembelit. Pilihlah yang boleh disimpan lama seperti limau, epal, jambu batu atau oren.
Makanan lain yang berkhasiat dan menambahkan pengambilan tenaga seperti kacang tanah, kacang kuda rebus, buah-buahan kering, biskut tawar dan sebagainya juga elok dibawa bersama.
Selain air kosong, bawa juga minuman daripada air buah-buahan yang disejukkan dalam bekas yang diletakkan ais. Anda juga boleh membawa air kotak seperti air kacang soya atau air buah-buahan. Sebaiknya elakkan minuman berkarbonat yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
Seperkara yang penting diingati ialah, minum air yang sudah dimasak dan elakkan membeli atau menambah ais kerana ketulan ais yang dijual di kedai-kedai lazimnya menggunakan air yang tidak dimasak.
( Dipetik dari Saji )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan