23 Februari 2011

Ronaldo legenda disegani

pix_middle

PEMENANG tiga kali pemain terbaik dunia Fifa, Ronaldo yang menjadi penjaring utama ketika membantu Brazil merangkul kejuaraan Piala Dunia 2002 mengumumkan persaraannya secara rasmi semalam pada usia 34 tahun.

Penyerang Corinthians itu tidak dapat menahan kesedihan pada sidang media di Sao Paolo dengan menyatakan walaupun meninggalkan arena bola sepak seperti kematian buat dirinya, dia terpaksa melakukannya kerana tubuhnya sudah tidak boleh bertahan lagi.

“Saya menamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak profesional. Ia adalah saat yang indah, penuh emosi dan karier yang sungguh hebat. Dalam tempoh dua tahun lalu saya mengalami beberapa kecederaan yang panjang. Kecederaan memaksa saya menamatkan karier,” katanya.

Ronaldo mendedahkan dia menderita masalah tiroid yang menyebabkannya sukar mengawal berat badan.

“Empat tahun lalu di Milan, saya mendapati saya mengalami masalah tiroid yang menyebab-kan metabolisme saya menurun, saya perlu mengambil hormon yang tidak dibenarkan dalam bola sepak kerana ia dianggap salah mengikut doping.

“Ramai pihak harus berasa bersalah kerana mempersendakan masalah berat badan saya. Namun saya tidak marah kepada sesiapa,” katanya.

Walaupun menyatakan harapan untuk terus bermain sehingga tamat tahun ini, masalah kecederaan dan penyingkiran awal Corinthians daripada Piala Libertadores mendorongnya mengambil keputusan mempercepatkan persaraan.

“Kesakitan ini memaksa saya menamatkan karier lebih awal,” katanya.

Ronaldo membuat keputusan Khamis lalu dengan menjelaskan: “Apabila saya membuat keputusan, saya seperti berada dalam unit rawatan rapi dengan keadaan yang boleh membawa maut. Pengumuman ini seperti kematian pertama saya. Ia sukar untuk berputus asa terhadap sesuatu yang membuatkan anda gembira.

Dalam tempoh 14 tahun yang menakjubkan di Eropah, Ronaldo menjadi penjaring prolifik untuk PSV Eindhoven, Barcelona, Inter Milan, Real Madrid dan AC Milan sebelum kembali ke Brazil pada 2009.

Dia memenangi Piala Dunia bersama Brazil pada 2002 dan menjadi penjaring terbanyak

pada pusingan akhir Piala Dunia apabila menjaringkan gol ke-15 pada kejohanan 2006 di Jerman.

Ronaldo dua kali dinobatkan selaku Pemain Terbaik Eropah 1997 dan 2002 serta menamatkan karier peringkat antarabangsa dengan 62 gol dalam 97 penampilan.

Diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, ‘El Fenomeno’ menjuarai Piala Dunia bersama Brazil buat kali pertama pada 1994 meskipun ketika itu dia masih berusia 17 tahun dan tidak beraksi dalam kesebelasan utama.

Pada 1998, dia adalah sebahagian daripada pasukan yang muncul naib juara, kalah 3-0 di tangan Perancis di Stade de France.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT