YAMAHA XJ6 bakal dilancar Julai.
HONG Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (Hong Leong Yamaha) enggan ketinggalan dalam meraih manfaat peningkatan minat pengguna negara ini terhadap motosikal berkuasa tinggi menerusi pengenalan Yamaha XJ600 (XJ6) pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi.
Menerusi pelancaran model motosikal berkuasa lebih 500cc itu yang dijangka dibuat menjelang akhir Julai ini, Hong Leong Yamaha menyertai pesaingnya yang lain seperti Kawasaki Motors (Malaysia) serta KTM Malaysia yang sudah memperkenalkan motosikal CKD masing-masing sejak 2008.
Kata sumber, pada mulanya Hong Leong Yamaha bercadang memperkenalkan model itu pada bulan depan, namun bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu, menyebabkan ia terpaksa menangguh pelancaran model berkenaan.
“Buat masa ini, operasi pengeluaran berskala besar masih belum dilaksanakan lagi. Bencana di Jepun baru-baru ini menyebabkan gangguan terhadap rantaian bekalan komponen.
“Namun, jika tiada perkara di luar dugaan berlaku, ia mungkin dilancarkan pada akhir Julai ini dan ia akan dikeluarkan menerusi kemudahan pengeluaran milik Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh, Selangor,” katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati, beberapa kedai motosikal berkuasa tinggi sekitar Lembah Klang sudah mula mengambil tempahan bagi model itu walaupun harga muktamad masih belum ditetapkan lagi.
“XJ6 adalah model yang sering dinanti-nantikan oleh penggemar motosikal berkuasa tinggi. Susulan itu, ramai yang membuat tempahan apabila mendengar khabar bahawa Hong Leong Yamaha akan mengeluarkan model itu secara CKD yang pastinya jauh lebih murah berbanding CBU,” kata seorang pemilik kedai motosikal di Cheras.
Katanya, XJ6 akan memberi saingan sengit kepada dua model CKD Kawasaki iaitu ER6N, ER6F dan Versys serta Duke 690 keluaran Kraftfahrzeuge Trunkenpolz Mattighofen (KTM).
Tahun lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) memperkenalkan ER-6F CKD selepas meraih kejayaan menerusi pelancaran model CKD ER-6N pada Jun 2008 masing-masing dijual pada harga antara RM33,000 hingga RM35,000 seunit.
Baru-baru ini syarikat itu melancarkan Versys 650 pemasangan pada harga RM37,000 seunit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan