18 Mei 2011

Penghuni flat Singapura minum air mayat


BEBERAPA anggota polis memeriksa bumbung flat di Blok 686B,Woodlands Drive 73, Sembawang selepas mayat seorang amahIndonesia ditemui dalam sebuah tangki air kelmarin.

SINGAPURA - Penduduk di beberapa buah flat di Woodlands tidak menyedari bahawa mereka menggunakan air termasuk untuk memasak adalah daripada sebuah tangki air yang mengandungi mayat reput seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mati, lapor akhbar Straits Times semalam.

Mereka hanya mengetahui tangki air itu mengandungi mayat wanita tersebut selepas membuat aduan kerana air paip kelihatan berwarna kekuningan dan agak berbuih.

Empat penduduk flat itu di Blok 686B, Woodlands Drive 73, menghubungi Majlis Perbandaran Sembawang untuk membuat aduan tersebut.

Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita Associated French Press, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun telah ditangkap berhubung kematian pembantu rumah tersebut yang berusia 30 tahun.

Mayat wanita itu ditemui di dalam salah satu daripada lapan tangki air di atas bumbung flat setinggi 15 tingkat itu kelmarin selepas polis menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat dipercayai rakan lelaki Bangladesh tersebut.

"Kejadian ini amat menjijikkan. Semua keluarga saya memakan habis seperiuk sup kacang hijau yang dimasak pada pagi ini," kata seorang penduduk flat tersebut, Choi Ah Moi.

Seorang suri rumah berusia 33 tahun, Ally Lee pula berkata, pembantu rumahnya memasak mi sup untuk anak perempuannya dengan menggunakan air mayat tersebut. "Saya fikir saya mahu membawa anak perempuan saya berjumpa dengan doktor," katanya.

Pembantu rumah itu bekerja di sebuah flat di tingkat enam dan semasa ditemui mayatnya tersebut didapati mengalami luka di belakang badan selain memakai baju-T dan seluar bermuda.

Pengurus Besar Majlis Perbandaran Sembawang, Soon Min Sin berkata, semua air di lapan tangki itu dibuang dan dibasuh dengan menggunakan bahan pembersih kuman.- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT