|
DIA bermula sebagai remaja perempuan serba sederhana, tidak pandai bergaya dan selesa mengenakan sneakers (kasut bertapak lembut) dan jean potongan baggy ketika mengadakan persembahan mahupun ketika membuat kemunculan di sebarang acara.
Nama Robyn Rihanna Fenty, 23, saat itu masih samar-samar dalam industri muzik antarabangsa, tiada jenama mewah mahu menaja pakaian penyanyi muda itu.
Selepas menandatangani kontrak rakaman bersama Def Jam Recordings milik Jay Z pada 2005, album pertama Rihanna, Music Of The Sun memberi ’amaran’ awal kepada industri muzik bahawa Rihanna yang berusia 17 tahun ketika itu perlu dipandang serius.
Anak kelahiran Barbados itu mula dikenali ramai menerusi lagu-lagu hitnya seperti Pon De Replay, S.O.S, Break It Off dan Unfaithful sekali gus memberi ruang kepadanya untuk bereksperimen dengan imej.
Tahun 2007 dilabelkan ramai orang sebagai kemuncak ‘jenama’ Rihanna. Hanya dengan satu lagu berjudul Umbrella, namanya melonjak ke serata dunia dan akhirnya dia berjaya membentuk identiti dan mengumpulkan kelompok peminat tersendiri.
Selari dengan perkembangan muziknya, begitu jugalah kebijaksanaan Rihanna dalam hal berfesyen. Dia kelihatan semakin bijak dalam berpakaian, tiada lagi jean baggy ataupun sneakers, malah sepatu tumit tinggi, dres jenama terkenal serta aksesori jutaan ringgit mula menjadi teman akrab Rihanna.
Gelaran Bintang Paling Bergaya 2007 oleh majalah Seventeen buat Rihanna memang tepat kerana dengan kelasnya tersendiri, bintang itu mampu menjadikan gaun putih rekaan George Chakra tampak elegan dalam sebuah majlis biarpun disaingi banyak rekaan sofistikated yang dipakai ramai selebriti wanita lain.
Ikon fesyen
Pengaruh Rihanna tidak hanya tertumpu dalam bidang muzik malah dia turut disebut-sebut sebagai ikon fesyen dekad ini.
“Pada permulaan karier, segalanya begitu terkawal hinggakan saya tidak boleh menggunakan gincu berwarna merah ataupun merah jambu.
“Sekatan itu amat sukar memandangkan saya mempunyai ramai peminat dalam kalangan remaja, tetapi saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan saya selesa dengan apa saya tonjolkan hari ini,” luah Rihanna jujur kepada majalah Glamour September lalu.
Kaca mata hitam Marc Jacobs atau Louis Vuitton, but Christian Louboutin atau kasut tumit tinggi Stella McCartney, tali pinggang Gucci, cekak rambut bertatahkan kristal Swarovski dan jumpsuit Dolce & Gabbana semuanya pernah menyaluti tubuh genit Rihanna.
|
|
Belum pernah mengecewakan peminatnya yang sering tertanya-tanya akan cita rasa fesyennya yang berubah-ubah, Rihanna sekali lagi mengejutkan dunia apabila dia menumpaskan Beyonce, Mila Kunis dan Emma Stone bagi merangkul gelaran Wanita Terseksi Dunia untuk majalah Esquire.
Pernah mendapat jolokan Wanita Kaki Tercantik, gelaran seksi yang diterimanya itu langsung tidak membuatkan pelantun lagu We Found Love tersebut berbangga ataupun berasa hebat.
“Setiap kali tamat membuat persembahan, saya tidak pernah fikirkan adakah saya kelihatan seksi ketika berada di atas pentas tadi.
“Perkara tentang seksi ini tidak pernah terlintas di fikiran saya dan apa yang saya pakai dan lakukan di atas pentas adalah apa yang bersesuaian dengan konsep persembahan,” jelas Rihanna kepada majalah itu.
Menurut Rihanna lagi, kejayaannya hari ini membuktikan bahawa seorang individu dari pulau kecil bernama Barbados mampu menjulang nama negara itu ke serata dunia dan dia bangga menjadi individu yang mengharumkan nama negaranya.
Evolusi rambut
Fenomena rambut Rihanna bermula pada 2007 ketika dia membuat potongan cekung menerusi teknik bob cut yang seterusnya menjadi ikutan ramai gadis-gadis yang mahu kelihatan anggun seperti penyanyi itu.
Daripada seorang gadis berambut panjang, Rihanna cukup terkenal sebagai selebriti yang sering kali menukar gaya rambutnya terutama sekali apabila melibatkan fesyen rambut pendek.
Tampil berani dengan pelbagai teknik potongan rambut pendek, Rihanna tidak gentar membenarkan pendandan rambut kegemarannya, Ursula Stephen mencipta apa jua gaya baharu asalkan ia kelihatan serasi dengan bentuk wajahnya.
Buktinya, Rihanna tampil dengan rambut panjang berwarna merah terang pada penghujung tahun lalu. Ia mungkin dianggap melampau bagi sesetengah orang namun harus diakui bahawa ia merupakan fesyen rambut yang mengagumkan.
“Keputusan menghasilkan rambut panjang berwarna merah terang itu adalah keputusan kami bersama dan saya menggunakan rambut manusia sebenar sebagai extension (penyambung) bagi menjadikan rambutnya panjang,” ujar Ursula ketika ditemu bual sebuah majalah tahun lalu.
Seakan-akan rindu dengan rambutnya yang pendek, Rihanna lantas meminta Ursula memotong rambut panjangnya itu bagi memudahkan gaya rambut lain dibentuk.
Dalam tempoh setahun dengan rambut merahnya itu, Rihanna telah 13 kali menukar gaya rambutnya dengan gaya kerinting bergulung-gulung, lurus dan lain-lain.
Intim dengan nama timangan Riri, bekas teman wanita Chris Brown itu dikatakan membelanjakan hampir AS$23,000 (RM71,600) seminggu bagi mendapatkan khidmat Ursula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan