22 Disember 2011

Beckham masih tiada tandingan


BILA berada di luar padang, Beckham lebih banyak menghabiskan masa dengan anak-anaknya.

KARIER bekas bintang bola sepak England, David Beckham masih belum menunjukkan tanda-tanda suram.

Meskipun telah berusia 36 tahun, bekas kapten skuad The Three Lions itu masih lagi laku di pasaran.

Setelah bermain dengan tiga kelab terkemuka dunia iaitu Manchester United, Real Madrid dan AC Milan, perancang yang kini bersama Los Angeles Galaxy itu masih mampu menarik minat banyak kelab elit Eropah.

Terbaru, suami kepada anggota kumpulan pop Spice Girls, Victoria itu kini dikaitkan dengan kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, pihak pengurusan Beckham, XIX Entertainment dengan pantas menepis spekulasi tersebut meskipun kontraknya dengan LA Galaxy berakhir 31 disember ini.

“Tiada perjanjian dicapai dengan mana-mana kelab setakat ini. Semua cerita mengenai perjanjian tersebut hanyalah spekulasi sahaja.

“David masih lagi belum membuat keputusan mengenai masa depannya,” kata XIX Entertainment.

Biarpun berita itu hanya spekulasi, namun jelas sekali ia membuktikan bahawa populariti pemain kesayangan England itu masih utuh dan laku di pasaran.

Media melaporkan PSG sanggup menawarkan gaji 800,000 euro (RM3.32 juta) sebulan untuk membawa imej dan populariti Beckham ke ibu negara Perancis itu.

PSG yang dimiliki oleh Qatar Sport Investments, mahu menggunakan Beckham sebagai daya penarik kepada peminat bola sepak terhadap Liga Perancis, khususnya berkaitan dengan pemasaran dan penjenamaan kelab tersebut.

Selain menjadi bintang bola sepak terkemuka, Beckham yang mempunyai raut wajah yang kacak turut menjadi ikon metroseksual, model dan jurucakap kepada produk-produk terkenal dalam dunia fesyen, minyak wangi, kosmetik dan penjagaan kesihatan.

Status selebriti yang dikecapi Beckham di luar padang ini bagaimanapun tidak menjejaskan fokus utamanya di atas padang.

Buktinya, Beckham pernah menduduki tempat kedua dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali dan menjadi pemain menerima gaji paling mahal di dunia pada 2004 ketika bersama Real Madrid.

Pada 2007, Beckham menyertai saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat dan sekali lagi menerima bayaran tertinggi dalam kontraknya bersama LA Galaxy selama tiga tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT