|
NEW DELHI - Sejak sebelum era dinosaur lagi satu spesies amfibia yang tidak berkaki hidup bebas di bawah tanah yang beriklim monsun di pedalaman utara India tanpa diketahui saintis.
Sekumpulan saintis India yang menemui spesies baharu amfibia memberikan ia nama chikilidae setelah menggali tanah untuk mencari haiwan berkenaan di hutan selama lima tahun.
Ketua kajian tersebut, Profesor Sathyabhama Das Biju dari Universiti New Delhi berkata, chikilidae tergolong dalam keluarga caecilian iaitu yang paling primitif antara tiga kumpulan amfibia termasuk juga katak dan salamander.
Disiarkan dalam jurnal Royal Society of London semalam, penemuan mereka mengukuhkan lagi bukti bahawa India dipenuhi hidupan amfibia dengan habitat yang perlu dilindungi.
Menurut Sathyabhama, chikilidae bukan sahaja tidak berbahaya tetapi ia turut membantu petani dengan memakan ulat dan serangga yang merosakkan tanaman manakala pergerakan spesies itu di bawah tanah dapat membantu menyuburkan tanah.
Namun, penduduk tempatan kerap membunuh chikilidae kerana tersilap anggap bahawa amfibia itu merupakan seekor ular berbisa. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan