LONDON - Barcelona kini sudah boleh melupakan misi untuk bergelar juara Liga Sepanyol musim ini.
Awal pagi semalam, skuad kendalian Pep Guardiola itu tewas 1-2 di
tangan musuh tradisi, Real Madrid pada pertemuan yang dilabel sebagai
aksi El Clasico di Nou Camp.
Dengan berbaki empat perlawanan, Barcelona ketika ini menduduki
tangga kedua carta liga dengan mengumpul 81 mata, tujuh mata di belakang
Real yang terus unggul selaku pendahulu.
Pada aksi awal pagi semalam, Real berjaya membuka tirai jaringan menerusi Sami Khedira pada minit ke-17.
Bagaimanapun, Barcelona berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Alexis Sanchez pada minit ke-70.
Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo dijulang sebagai wira apabila meledak gol kemenangan buat Real tiga minit kemudian.
Bagi Guardiola, beliau tidak mahu barisan pemainya terus meratapi kekalahan tersebut.
Sebaliknya, jurulatih itu menuntut barisan pemainnya segera melupakan
kekecewaan tersebut dan fokus bagi melayan kunjungan Chelsea pada aksi
separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Nou Camp, Rabu ini.
Tugas sukar sekali lagi menanti anak-anak buah Guardiola kerana
mereka perlu mengatasi defisit gol dimiliki Chelsea yang mencatatkan
kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge minggu
lalu.
"Pemain-pemain berasa kecewa ekoran kekalahan di tangan Real hari ini (awal pagi semalam).
"Namun, kami (Barcelona) tetap bersedia untuk berdepan Chelsea, Rabu ini.
"Pemain-pemain sedar bahawa pentingnya perlawanan menentang Chelsea. Kami tidak boleh gagal," kata Guardiola.
Sedar pintu untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu sudah hampir tertutup rapat, skuad The Catalan tidak mempunyai pilihan selain memastikan trofi Liga Juara-Juara menjadi milik mereka.
Sementara itu, Real meraih kejayaan berganda dengan kemenangan yang dilakar ke atas Barcelona itu.
Selain mengutip tiga mata berharga, skuad kendalian Jose Mourinho itu
turut mencipta sejarah baharu kelab tersebut dengan merekodkan 109 gol
dalam satu musim.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan anak-anak buah Mourinho berjaya
memintas rekod John Toshack yang membimbing Real pada 1990 dengan 107
gol. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan