10 Mei 2012

Diintai kelab Portugal

NAZMI bakal menjalani sesi pemilihan bersama kelab Portugal, Beira-Mar minggu depan.


KELIBAT bintang muda dalam pembikinan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor mula menggamit tumpuan.

Biarpun hanya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Muda A musim ini, Nazmi sudah berjaya menambat hati kelab Eropah.

Kelab Divisyen Satu Portugal, S. C Beira-Mar menjadi kelab Eropah pertama yang menunjukkan minat untuk melamar pemain berusia 18 tahun itu.

Jika tiada sebarang masalah, Nazmi akan menjalani sesi pemilihan (trial) bersama skuad utama Beira-Mar selama seminggu mulai 16 Mei ini.

Mengulas mengenai pemilihan Nazmi untuk menjalani pemilihan itu, pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjadi individu paling gembira dengan perkhabaran tersebut.

“Ia adalah satu berita yang baik yang mana Nazmi dinilai sendiri melalui ejen dan pencari bakat kelab itu sendiri.

“Mereka telah datang untuk mengemukakan tawaran secara rasmi supaya meminta Nazmi hadir bagi sesi pemilihan tersebut.

“Lebih membanggakan, ia hasil daripada usaha Nazmi sendiri dan kelab tersebut sendiri yakin dengan bakat semula jadi yang ada dalam diri Nazmi,” kata Kim Swee di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Kim Swee, Nazmi mampu menjadi ‘produk’ pertama negara untuk membuka ruang kepada pemain-pemain lain beraksi di luar negara terutama di benua Eropah.

“Ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif untuk bola sepak negara dan saya harap Nazmi dapat mengambil peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan kontrak beraksi bersama skuad utama Beira-Mar.

“Sekiranya ‘produk’ kita berjaya di sana (Portugal), tidak mustahil pemain-pemain lain akan menyusul mengikuti jejak Nazmi,” katanya.

Sementara itu, Nazmi berkata, dia akan memberikan aksi terbaik sepanjang menjalani sesi ujian pemilihan tersebut.

“Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan apabila mereka berminat untuk menguji kebolehan saya.

“Saya akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan dapat memikat jurulatih kelab itu dan bersedia untuk menimba ilmu di Eropah,” ujarnya.

Nazmi akan berlepas ke Portugal Ahad ini dengan ditemani bapanya, Mansor Mustapha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT