23 Mei 2012

'Nazmi buka lembaran baru'

NAZMI bersama bapanya, Mansor ketika di Portugal.
NAZMI bersama bapanya, Mansor ketika di Portugal.

KEJAYAAN pemain muda negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar akan membuka lembaran baru kepada pembangunan pemain muda di negara ini.

Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, berita terbaru mengenai Nazmi ini begitu menggembirakan dan cukup bagus untuk pendedahan pemain muda itu di peringkat tertinggi.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik kerana sebelum ini hanya pemain senior saja yang mendapat peluang di peringkat lebih tinggi.

“Perkhabaran positif Nazmi ini akan membuka lembaran baru kepada aspek pembangunan pemain muda di negara ini untuk terus melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti,” katanya ketika dihubungi di Slovakia, semalam.

Menurut laman web rasmi kelab berkenaan, tonggak Harimau Muda yang beraksi di saingan Liga Singapura itu, memikat perhatian panel pemilihan dan terus ditawarkan kontrak tiga tahun untuk menyarung jersi kelab itu.

Namun, di sebalik kejayaan Nazmi memikat kelab Portugal itu, Kim Swee menegaskan semua pihak tidak boleh terus ‘dibuai mimpi indah’, sebaliknya usaha pencarian dan pembangunan pemain muda harus dilipat gandakan.

“Daripada penubuhan Harimau Muda kira-kira empat tahun lalu, kini kita sudah boleh lihat hasilnya. Tapi pembangunan pemain muda tidak boleh berhenti begitu saja.

“Saya akan berjumpa dengan ejen Nazmi (Marco Guimaere) malam ini (semalam). Selepas pertemuan itu, baru kita akan dapat tahu lebih lanjut mengenai kontrak yang ditawarkan kepada Nazmi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT