ROM - Ratu Rusia, Maria Sharapova muncul juara kejohanan tenis Rome Masters buat kali kedua berturut-turut.
Pada aksi final awal pagi semalam, Sharapova berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu apabila menumbangkan pemain handalan China, Li Na.
Bagaimanapun, Sharapova diberi tentangan sengit oleh Li Na sebelum meraih kemenangan 4-6, 6-4, 7-6 (7/5) dalam masa dua jam.
Aksi tersebut juga terpaksa dihentikan seketika kerana hujan lebat.
Selepas tewas pada set pertama, Sharapova yang juga pemain No. 2 dunia, tidak menunjukkan tanda- tanda dia akan mudah menyerah kalah.
Sebaliknya dia kembali bangkit dalam set kedua, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.
Perlawanan set penentuan itu juga berlangsung sengit apabila kedua-dua saling memungut mata sebelum Sharapova menang menerusi tie-break.
"Ia satu perlawanan yang gila. Salah seorang daripada kami (Sharapova dan Li Na) harus memenangi perlawanan itu, jika tidak ia akan berterusan lebih lama.
"Agak sukar untuk memberikan aksi terbaik kerana angin kencang. Perlawanan ini cukup sukar kerana berlangsung dua jam.
"Memang menyedihkan kerana pada akhirnya seorang yang akan tewas tetapi saya gembira dengan kejayaan ini.
"Memang cukup hebat apabila dapat mengalahkan seorang pemain yang memiliki skil permainan yang tinggi," jelas Sharapova.
Sementara itu, Li Na menganggap aksi final tersebut seperti bermain bola sepak dalam cuaca hujan.
"Ia suatu perlawanan yang lucu. Walaupun kami direhatkan buat seketika tetapi kami tetap perlu memberi tumpuan setiap masa, situasi itu cukup memenatkan kami.
"Pada masa yang sama, situasi itu memberi tekanan kepada kami. Namun, saya mahu mengambilnya dari sudut positif," jelas Li Na yang juga juara Terbuka Perancis tahun lalu.
Kejayaan di Rom menyaksikan Sharapova menambah koleksi kejuaraan tahun ini selepas menjuarai Grand Prix Porsche di Stuttgart bulan lalu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan