Pada 2011, Tottenham dan Wigan bersiap sedia dengan kemungkinan mendapatkan pemain tengah Celta Vigo yang dipanggil Michu (gambar), boleh didapati secara percuma. Kedua-dua kelab itu bagaimanapun enggan mengambil tindakan susulan.
Sekali lagi, kedua-dua kelab itu memandang sepi pemuda itu, membolehkan Swansea City tampil tanpa saingan untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.
Michu
Semuanya menjadi sejarah dan ramai mula menyedari tanggapan pengurus Swansea, Michael Laudrup yang menyifatkan Michu pembelian berbaloi musim ini.
Dia adalah penjaring ketiga terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang musim ini, membawa Swans ke final Piala FA dan kini dinilaikan berharga £30 juta (RM144 juta) oleh kelabnya.
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson bukan satu-satunya pengurus Liga Perdana Inggeris yang mempersoalkan bagaimana seorang pemain yang sebagus itu boleh terlepas begitu saja.
“Hanya £2 juta (RM9.6 juta) dan saya tidak pernah mendengar mengenainya,” keluh Ferguson sebelum Krismas.” Saya perlu berbincang dengan pasukan pencari bakat.”
Penyerang legenda Ireland Utara, Gerry Armstrong, yang kini pengulas bersama perlawanan La Liga, mungkin boleh dimaafkan kerana kini berkata ”Saya sudah katakan.”
Beliau memberi amaran kepada kelab Liga Perdana Inggeris mengenai Michu tiga tahun lalu sewaktu dia bermain dengan Celta Vigo di divisyen dua Sepanyol.
“Saya menyaksikannya beberapa kali dan anda boleh melihat dia memang berbakat,” kata bekas penyerang Real Mallorca dan Tottenham itu.
“Dia adalah pemain hebat dengan teknik yang hebat, melakukan larian pada masa yang tepat ke petak penalti dan menjaringkan gol.
“Saya ada memberitahu Tottenham mengenainya dan sedar Wigan turut mahu mendapatkannya tetapi mereka turut memburu pemain lain dan tidak mengambil langkah selanjutnya.”
Michu boleh didapati menerusi perpindahan secara percuma pada akhir musim 2010-11, kerana kontraknya dengan Celta berakhir. Rayo Vallecano, sebuah kelab di luar Madrid, yang baru-baru ini dinaikkan ke La Liga, mendapatkannya dan membayarnya £6,000 (RM28,976) seminggu, menurut Armstrong.
Pada musim pertamanya di liga perdana Sepanyol, Michu menunjukkan kehebatannya. Dia menjaringkan 15 gol, menjadikannya penjaring tengah terbanyak di La Liga, mengatasi Andres Iniesta dan Mesut Ozil, serta membantu Rayo kekal di La Liga.
Anda mungkin menjangkakan jumlah jaringan itu mampu menarik kelab besar Eropah terutamanya apabila Michu mempunyai klausa pelepasan £2.2 juta dalam kontraknya.
Begitupun, Felipe Minambres, pengarah bola sepak Rayo, berkata: “Banyak pasukan bertanyakan kami mengenai Michu tetapi yang benar-benar serius membuat tawaran adalah Swansea.”
Justeru mengapa kelab lain tidak cuba mendapatkan pemain itu?
“Saya rasa mereka tidak melihatnya dengan teliti, biarpun mungkin mereka akan melihatnya dengan lebih teliti sekarang,” kata Armstrong.
“Mereka mungkin terfikir bahawa corak permainan di Sepanyol dan England jauh berbeza tetapi saya yakin Michu boleh menyesuaikan diri, dia mempunyai tubuh yang besar, berketinggian 1.84m dengan teknik yang hebat dan mampu menjaringkan gol.
“Dia juga bekerja keras dan mempunyai etika kerja yang bagus.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan