05 Februari 2013

Kelibat Rozaimi, Irfan menjadi tumpuan



IRFAN (tengah) dan Rozaimi (empat dari kiri) menjadi perhatian pegawai pencari bakat kelab Brisbane Roar.



GOLD COAST, Australia - Aksi menentang Brisbane Roar hari ini bakal menjadi medan terbaik buat kapten Harimau Muda, Irfan Fazail dan Rozaiman Abdul Rahman untuk membuktikan keupayaan masing- masing.

Ini kerana Irfan dan Rozaimi yang meledak 10 gol pada kempen kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) sebelum ini dikatakan mendapat perhatian pegawai pencari bakat kelab terbabit, Brad Maloney.
Perlawanan menentang Brisbane Roar merupakan aksi terakhir Harimau Muda pada siri Jelajah Australia yang bermula penghujung Januari lalu.

Bekas penyerang import Sabah, Scott Ollerenshaw yang mengaturkan jelajah tersebut adalah antara individu yang bertanggungjawab mengenal pasti bakat kedua-dua pemain muda itu sebelum menjemput Malo- ney menyaksikan persembahan mereka dengan lebih dekat pada aksi menentang juara Liga Australia (Liga A), Brisbane Roar hari ini.

"Saya telah dibawa oleh Ollerenshaw yang telah mengaturkan perlawanan persahabatan Harimau Muda di Australia dan sudah tentu saya mahu mencari bakat-bakat baharu, dan beliau telah memberikan cadangan untuk menilai prestasi dua pemain terbabit.

"Sejujurnya saya sangat kagum dengan persembahan pemain-pemain Harimau Muda khususnya dari segi teknik, kepantasan, skil serta persefahaman, selain memiliki barisan jurulatih yang sangat profesional biarpun usia mereka masih muda," kata Maloney ketika menyaksikan sesi latihan Harimau Muda di Kompleks Sukan Carrara di sini semalam.

"Irfan dan Rozaimi ternyata menarik perhatian saya. Mereka memiliki teknik yang bagus, pantas dan sangat cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan. 

"Saya fikir, gaya permainan mereka cukup matang. Mereka juga dilihat mampu menyerlah jika diberikan lebih banyak pendedahan.

"Kini, saya semakin teruja untuk menyaksikan persembahan mereka pada aksi esok (hari ini)," jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan peluang kedua-dua pemain itu nampak cerah untuk beraksi dalam Liga A.

"Saya ingin menasihati Irfan dan Rozaimi agar bermain seperti biasa dan buat seperti apa yang mereka lakukan pada sesi latihan."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT