19 September 2014

Pemberi maklumat ditawar RM96 juta

GAMBAR fail menunjukkan beberapa anggota keluarga menyentuh keranda pramugari MH17, Mastura Mustafa di Masjid Al Taqwa, Paroi Seremban pada 22 Ogos lalu.


BERLIN - Sebuah firma penyiasatan persendirian Jerman akan memberikan ganjaran sebanyak AS$30 juta (RM96.8 juta) kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat berhubung dalang yang menembak jatuh sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di timur Ukraine, lapor portal berita The Local kelmarin.

Firma berkenaan, Wifka dalam satu kenyataan semalam memberitahu, wang ganjaran tersebut merupakan sumbangan beberapa individu yang dipercayai jutawan tetapi identiti mereka tidak didedahkan kepada media.


GAMBAR fail menunjukkan lokasi nahas pesawat MH17 dekat Grabovo, timur Ukraine pada 17 Julai lalu.


Agensi penyiasat persendirian yang beribu pejabat di bandar Schleswig-Holstein, utara Jerman menyatakan, wang tersebut kini disimpan di Zurich, Switzerland milik beberapa orang pelanggannya.

Pesawat Boeing 777-200 itu terhempas dipercayai ditembusi dengan objek berkelajuan tinggi di wilayah timur Ukraine yang dikuasai pemberontak pro-Rusia pada 17 Julai lalu.
Seramai 298 penumpang dan anak kapal menaiki pesawat tersebut ketika ia ditembak jatuh di timur Ukraine.

Satu siasatan antarabangsa berhubung nahas itu masih diteruskan tetapi pada awalnya dihalang oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia yang menguasai lokasi nahas dan dituduh bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pada 10 September lalu, laporan awal nahas pesawat MH17 mendedahkan, ia berkecai di udara akibat ditembusi objek-objek berkelajuan tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT