24 September 2014

Real bimbang jika Ronaldo tiada



ANCELOTTI mengaku bergantung penuh kepada penampilan Ronaldo (kiri) untuk meneruskan kebangkitan Real dalam Liga Sepanyol.


MADRID - Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui tidak berniat untuk merehatkan Cristiano Ronaldo biarpun akan mengharungi jadual padat empat perlawanan dalam tempoh 12 hari.

Bintang sensasi The Galacticos itu telah beraksi kesemua tujuh perlawanan musim ini termasuk kejayaan meraih Piala Super Uefa sewaktu menang ke atas Sevilla dan juga kedua-dua perlawanan timbal balik Piala Super Sepanyol.

"Ronaldo tidak memerlukan rehat, kami memerlukannya kerana dia berada pada tahap terbaik ketika ini," kata Ancelotti.

Sebagai rekod, pemain berusia 29 tahun itu telah meledak enam gol dalam empat perlawanan terdahulu termasuk kejayaan hatrik sewaktu membelasah Deportivo 8-2 pada saingan Liga Sepanyol, Sabtu lalu.

Selepas ini, Real akan menentang Villareal pada Sabtu ini sebelum bertandang ke Bulgaria berdepan Ludogorets Razgrad dalam saingan Liga Juara Juara pada 1 Oktober.

Selepas itu, skuad bimbingan Ancelotti itu akan menanti kunjungan Athletic Bilbao di Stadium Bernabeu pada 5 Oktober sebelum rehat panjang bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

Biarpun berjaya 'meratah' Deportivo minggu lalu, namun Ancelotti menggesa anak-anak buahnya mempamerkan peningkatkan yang lebih tinggi.

"Keputusan menentang Deportivo sangat bagus tetapi ia boleh menjadi berlainan kerana kami masih perlu memperbaiki beberapa aspek dalam permainan kami.

"Kami perlu meningkatkan cara pertahanan kami tetapi saya fikir, kami kini lebih tersusun berbanding pada musim lalu," jelasnya.

Ketika ini, Real menduduki tangga ketujuh liga hasil dua kemenangan dan dua kekalahan sepanjang empat aksi Liga Sepanyol setakat ini.

The Galacticos juga berkemungkinan besar tidak dapat menurunkan dua tonggak pertahanan, Sergio Ramos dan Pepe menjelang aksi liga domestik bertemu Elche hari ini. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT