12 September 2014

Yayasan Gates sumbang AS$50 juta untuk wabak Ebola

LONDON: Yayasan Bill & Melinda Gates berikrar untuk menyumbang AS$50 juta (RM160 juta) bagi membantu langkah kecemasan berhubung wabak Ebola di Afrika Barat, yang sudah meragut hampir 2,300 nyawa.

Yayasan dermawan Amerika Syarikat itu akan mengeluarkan dana dengan segera kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain bagi membantu mereka membeli bekalan dan meningkatkan tindakan kecemasan di negara terbabit.

Ia akan juga bekerjasama dengan rakan mereka di sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan pengeluaran ubat, vaksin dan diagnostik yang berkesan untuk merawat pesakit Ebola dan mengelakkan virus itu daripada merebak.

"Kami sedang bekerja dengan rakan kami untuk mengenal pasti cara paling berkesan untuk membantu menyelamatkan nyawa sekarang dan menghentikan penularan penyakit yang membawa maut ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan Sue Desmond-Hellmann.

Data terbaru daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penularan wabak Ebola, yang bermula Mac lalu, sudah menjangkiti hampir 4,300 orang setakat ini, dan mengorbankan lebih daripada separuh.

Virus terbabit menular di tiga negara - Guinea, Liberia, Sierra Leone - dan juga kini sudah merebak ke negara jiran di Nigeria dan Senegal. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT