HASAN MALEK (duduk) melancarkan Pusat Gerakan Antipencatutan dan Aplikasi MyKira GST di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.
PUTRAJAYA 30 Mac – Orang ramai yang mahu membuat perbandingan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihaknya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk membandingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April ini.
Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.
“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.
“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan PGAP dan aplikasi MyKira GST di sini hari ini.
Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu ini.
Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.
Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.
Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.
“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan