15 November 2010

Desire HD atasi Desire


DESIRE HD dilengkapi capaian WiFi berbanding model sebelumnya.


SUNGGUHPUN Apple iPhone terus berjaya meraih populariti pengguna hasil promosi penyedia khidmat telekomunikasi dan publisiti yang berterusan media, Google membuktikan sistem operasi mereka yang berkonsepkan sumber terbuka atau open source turut mampu menarik perhatian golongan celik teknologi.

Bukti kejayaan Android yang terkini diterjemahkan melalui pengenalan satu lagi telefon pintar keluaran HTC, Desire HD yang digerakkan oleh sistem operasi Android 2.2 Froyo dengan versi terkini HTC Sense - antara muka pengguna bergrafik yang memudahkan pengguna menyusun aplikasi dan maklumat yang diperlukan mengikut keperluan pemiliknya.

Pengguna HTC Desire, model yang terdahulu mungkin berasa sedikit ‘panas hati’ kerana belum pun lama model tersebut diperkenalkan, Desire HD memasuki pasaran sebagai model gantiannya.

Namun bagi mereka yang mungkin tertanya-tanya apakah kelebihan Desire HD berbanding Desire, jawapan ringkasnya, tidak banyak perbezaan. Cuma beberapa pelengkap teknologi terkini ditambah sebagai satu tarikan untuk sebuah telefon pintar.


TELEFON pintar baru keluaran HTC ini digerakkan oleh sistem operasi Android 2.2 Froyo.


Sebagai contoh, Desire HD menyokong rangkaian 3G/HSDPA dengan kelajuan 7.2Mbps, piawaian WiFi 802.11b/g/n dan Bluetooth 2.1 dengan sambungan EDR dan A2DP. Desire turut mempunyai ciri yang sama melainkan capaian WiFi 802.11b/g sahaja.

Dari segi saiz dan berat pula, Desire mempunyai sedikit kelebihan kerana Desire HD mempunyai reka bentuk yang lebih besar dengan ukuran 123 x 68 x 11.8 milimeter (mm) berbanding Desire yang hanya berukuran 119 x 60 x 11.9 mm.

Desire HD juga mempunyai berat yang lebih 164 gram (g) berbanding hanya 135 g untuk Desire.

Bagi mereka yang mementingkan kualiti gambar, pastinya teruja dengan kamera yang didatangkan dengan HTC Desire HD.

Dengan mempunyai lapan megapiksel ia mampu menghasilkan imej dengan resolusi 3,264 x 2,448 piksel yang lebih menarik berbanding kamera Desire yang hanya mempunyai lima megapiksel dengan resolusi 2,592 x 1,944 piksel.

Dari segi prestasi pemproses pula, kedua-dua telefon mempunyai kelajuan pemproses yang sama iaitu 1GHz.

Bagaimanapun, Desire HD mempunyai unit pemproses yang lebih baru iaitu Qualcomm Snapdragon QSD8255 manakala Desire menggunakan Snapdragon QSD8250.


KAMERA lapan megapiksel mampu hasilkan imej yang jelas dan beresolusi tinggi.


Dari segi penstoran, Desire HD mempunyai storan dalaman bersaiz 1.5 Gigabait (GB) dan boleh mencecah 33.5 GB jika menggunakan slot tambahan microSD.

Ia lebih hebat berbanding hanya 576 Megabait (MB) yang ditawarkan untuk Desire dengan sokongan kad memori tambahan sehingga 4GB.

Jangka hayat bateri Desire HD turut dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pelbagai aplikasi pada telefon keluaran HTC itu.

Ia mampu memberikan sehingga sembilan jam waktu bercakap berbanding Desire dengan hanya 6.7 jam.

Ini pastinya satu perkhabaran gembira terutamanya buat mereka yang kerap berhubung dan menggunakan aplikasi terutama mendengar muzik dan menonton video menerusi telefon.

Selain itu, Desire HD juga dilengkapi ciri-ciri tambahan seperti peranti GPS/A-GPS, sensor-g, kompas digital, radio FM, sokongan Dolby mobile dan menyokong perkongsian kandungan wayarles DLNA.

Ia turut diintegrasi dengan HTCSense.com yang membolehkan pengguna mengurus telefon mereka dari jauh menggunakan komputer.

HTC Desire turut mempunyai sebahagian dari ciri di atas termasuk kompas digital, GPS/A-GPS dan radio FM, namun perlu akur dengan kenyataan yang ‘adiknya’, Desire HD mempunyai sedikit kelebihan berbanding dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT