ATURAN pernafasan terasa lebih sukar hinggakan adakalanya terpaksa tercungap-cungap. Setiap hela dirasakan tidak puas untuk meredakan rasa 'rimas' di dada. Ia disertai pula dengan keperitan di salur kerongkong akibat batuk-batuk yang berlarutan.
Itu belum lagi bercakap mengenai beberapa simptom lain seperti sakit tekak, demam, keletihan, sakit badan dan otot, hidung tersumbat dan berair, muntah dan cirit birit (disebabkan virus) serta sakit dada.
Jika anda mengalami simptom sedemikian, segeralah mendapatkan nasihat doktor kerana terdapat kemungkinan anda menghidap bronkitis.
"Bronkitis adalah radang pada saluran pernafasan yang berfungsi membawa udara ke tisu paru-paru. Maka, jika ia mengalami radang, ia akan membengkak dan terdapat penghasilan mukus atau lendir.
"Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas," kata Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim.
Beliau memberitahu, penghidap bronkitis selalunya akan batuk berkahak, mengalami pernafasan berdehit, sakit dada, dada berasa 'ketat', demam dan sesak nafas.
Semua itu adalah kesan akibat terdedah kepada sesuatu keadaan persekitaran berisiko yang mengganggu salur pernafasan seperti asap rokok, pencemaran udara, habuk dan asap.
Akut dan kronik
Bronkitis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik. Secara asasnya, bronkitis akut berlaku dalam masa singkat iaitu antara beberapa hari hingga beberapa minggu manakala bronkitis kronik berlaku dalam tempoh masa yang lama dan sering berulang.
"Kebiasaannya, kanak-kanak sering mendapat jangkitan bronkitis akut. Ia terjadi akibat jangkitan bakteria dan virus yang tersebar melalui udara apabila seseorang itu batuk. Ia juga boleh tersebar melalui sentuhan, contohnya, lendir yang melekat pada tangan.
|
|
Bronkitis jenis akut dialami penghidapnya selama beberapa hari dan kadang-kala sehingga beberapa minggu selepas jangkitan kuman sembuh. Namun, kesan radang masih kekal.
Zal menambah, masalah kesihatan itu ditanggung penghidapnya dari semasa ke semasa apabila seseorang itu mendapat jangkitan virus atau bakteria pada saluran pernafasan.
Walaupun begitu, tempoh batuk yang dialami tidak melebihi dua hingga tiga minggu.
Lanjutan daripada keadaan bersifat sementara itu, bronkitis kronik pula boleh terjadi selagi faktor penyebab radang berlaku secara berterusan hingga mengganggu salur pernafasan terutamanya pada lapisan tiub bronkiol.
"Mereka yang sentiasa terdedah kepada asap seperti asap rokok memburukkan lagi keadaan radang pada paru-paru," ujar beliau.
"Penghidap bronkitis kronik selalunya menderita batuk selama lebih daripada tiga bulan dan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya dua tahun," jelas Zal.
Walau bagaimanapun, penghidap bronkitis tidak perlu bimbang kerana penyakit ini boleh diubati. Bagi yang menghidap bronkitis akut, rutin pengambilan ubat adalah mengikut keperluan dan tidak sekerap dan selama pesakit bronkitis kronik.
Tempoh lebih lama
Penghidap bronkitis kronik memerlukan ubat untuk tempoh yang lama selagi ia terdedah kepada faktor yang menjadikan bronkitis itu kronik.
"Kadang-kala, ubat perlu diambil seumur hidup walaupun penyebab atau puncanya sudah tiada. Disiplin itu perlu diikuti kerana kerosakan yang terjadi pada salur pernafaan pesakit tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Ini selalunya berlaku dalam kalangan perokok.
"Tujuan utama pengubatan adalah mengurangkan simptom dan menjadikan pernafasan itu mudah," ujar Zal.
Bagi pengidap bronkitis akut pula, mereka disarankan berehat, mengambil air secukupnya dan makan ubat demam jika perlu. Nebuliser mungkin diperlukan jika saluran nafas terlalu sempit.
Pesakit bronkitis kronik boleh memanfaatkan penggunaan bronchodilator diperlukan bagi membuka saluran pernafasan selain ubat sedutan yang mengurangkan radang pada saluran nafas.
Golongan tersebut juga perlu berhenti merokok atau mengelakkan diri daripada terus terdedah pada pencemaran udara lain seperti habuk, asap dan jerebu. Jika keadaan pesakit semakin teruk, terapi oksigen perlu dijalankan.
"Pakai topeng mulut apabila terpaksa menggunakan bahan seperti cat, varnis dan lain-lain bahan kimia seperti serbuk pencuci.
|
|
"Selain itu, pesakit disyorkan untuk membasuh tangan dengan kerap, menjauhi mereka yang dijangkiti flu, mendapatkan vaksin dan mengamalkan diet sihat.
"Jika musykil tentang sesuatu simptom, eloklah dirujuk pada doktor seterusnya mengambil ubat yang disarankan. Pesakit juga digalakkan menyertai program senaman dan pemulihan pulmonari bagi membantu pernafasan seterusnya meningkatkan keupayaan pernafasan," ujar beliau.
Ketika ditanya apa yang membezakan penyakit bronkitis dan asma kerana kedua-duanya berkongsi simptom lebih kurang sama, Zal menjelaskan bahawa seseorang yang kerap kali mendapat bronkitis mungkin sebenarnya menghidap asma.
"Asma ialah sejenis penyakit kronik akibat keradangan pada saluran pernafasan. Dinding saluran pernafasan pesakit asma biasanya membengkak dan menghasilkan mukus atau lendir.
"Saluran pernafasan pesakit asma menjadi hiper aktif atau hiper responsif hingga menyebabkan penguncupan saluran pernafasan. Mereka akan mengalami simptom yang kronik dan berulang-ulang," katanya.
Lebih spesifik, pesakit asma boleh mengalami alahan pada variasi kemungkinan seperti habuk, lipas, kucing, anjing, burung, arnab, hamster, fungus dan kulapuk, debunga, asap rokok, kereta, pembakaran dan pencemaran udara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan